Petaling Jaya, 9 April – Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohd Arshad Raji membidas tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengarahkan pembubaran sementara PPBM sehari sebelum pembubaran Parlimen, yang disifatkan melangkaui garis berkecuali dan mengabaikan perasaan rakyat.
“Di manakah prinsip keadilan? Di manakah prinsip kesopanan? Di manakah prinsip berkecuali?
“Sekiranya penjawat awam kanan yang terdidik dan bertanggungjawab ternyata tidak dapat memperlihatkan prinsip-prinsip tersebut dalam tadbir urus, dalam membuat keputusan dan tata laku mereka, sedih dimaklumkan, ia adalah perarakan yang cepat menuju kehancuran dan kemusnahan bagi negara kita.”
Khamis lalu, RoS mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu, selepas diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Ia susulan aduan ahli PPBM mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.
Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, selepas mengeluarkan perintah itu, PPBM mempunyai 30 hari untuk menyerahkan butiran dikehendaki atau parti itu akan dibubarkan sekiranya gagal berbuat demikian.
Dalam 30 hari itu, PPBM dilarang menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti.