Home PolitikPakatan Harapan PAS dan UMNO kini sama, baik bawa orang tua jadi PM: Mahfuz

PAS dan UMNO kini sama, baik bawa orang tua jadi PM: Mahfuz

by Nurulhuda

Shah Alam, 20 Mac  – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa pendekatan Pas dan Umno kini sama dalam soal menangani pengundi-pengundi Melayu dalam Pakatan Harapan (Harapan). Menurut beliau, selepas Umno, Pas kini menggunakan sentimen DAP bagi menakut-nakutkan orang Melayu yang menyokong Harapan.

“Jika dahulu Pas menjadi mangsa Umno dengan menakutkan pengundi mereka dengan DAP apabila bekerjasama dalam PR.

Saya masih ingat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dalam PR berkali-kali dalam kenyataannya berharap orang Melayu Islam tidak takut dengan DAP kerana tiada apa-apa yang perlu ditakutkan dalam konteks Islam dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sesi Facebook Live Sinar Harian, semalam.

Beliau turut mendakwa, bukan sahaja memangsakan DAP bagi menakutkan penyokong Islam Harapan, malah PKR, Bersatu dan Amanah turut dilabel sebagai pencacai.

“Apa berlaku hari ini, Pas guna pendekatan sama menakutkan orang Melayu Islam menyokong Harapan dengan memangsakan DAP dengan menyatakan PKR, Bersatu dan Amanah sebagai pencacai.

“Bagi saya itu suatu cukup pelik menunjukkan Pas dan Umno sekata dalam usaha menangani penyokong Melayu Islam Harapan dalam menghadapi PRU14,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz turut menegaskan, calon Perdana Menteri Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, layak menjadi perdana menteri meskipun usianya sudah mencecah 93 tahun.

Mahfuz yang baru menyertai Amanah itu berkata, umur bukan faktor utama untuk seseorang itu diangkat menjadi perdana menteri.

“Kita tak boleh nak tentu umur berapa yang seseorang itu mampu untuk bawa masa depan negara.

“Orang fikir kalau muda…bawa kerosakan lebih baik bawa orang tua yang punya iltizam untuk membawa masa depan negara, bagi saya soal umur bukan ukuran yang tepat, sama ada seseorang itu layak atau tak layak, yang penting pemikirannya,” katanya.

Beliau dalam nada sinis berkata, ‘kerosakan’ yang berlaku dalam negara kini bukan disebabkan Mahathir.

“Kerosakan yang berlaku bukan daripada individu berumur 93, pemimpin sekarang yang umur lebih muda daripadanya jadi tak kan mahu kekalkan kerosakan kerana dia lebih muda daripada Tun M,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply