Home SemasaGlobal Provokasi di sempadan, pelarian dalam bahaya

Provokasi di sempadan, pelarian dalam bahaya

by M.Daim

Dhaka, 2 Mac – Bangladesh telah memanggil kedutaan Myanmar bagi meminta penjelasan tindakan Yangon mempertingkatkan kehadiran tenteranya di kawasan sempadan yang menjadi tempat perlindungan pelarian Rohingya.

Pihak PBB menyatakan para pelarian Rohingya yang berlindung di kawasan sempadan Bangladesh-Myanmar berada di kawasan sempadan Myanmar tetapi di luar kawasan pagar sempadan Myanmar. Namun begitu, PBB menyatakan kedudukan tersebut belum tentu menjamin keselamatan para pelarian yang berlindung di Tambru, Myanmar. Tambru merupakan daerah sempadan Myanmar, berhampiran Gundum, Bangladesh.

Kira-kira 700,000 orang etnik Rohingya menjadi pelarian dan berlindung di Bangladesh selepas berlakunya serangan gerila pada 25 Ogos 2017. Serangan tersebut telah mengundang tindak balas agresif pihak Myanmar yang disifatkan oleh PBB sebagai penghapusan etnik.

Dari jumlah tersebut, seramai 5,300 berada di tempat perlindungan sementara yang berada tepat di atas garisan sempadan. Pada 20 Februari lalu, sebahagian daripada pelarian yang telah berlindung di kem-kem pelarian di Bangladesh bergerak ke penempatan sementara tersebut selepas pihak Dhaka dan Yangon bertemu untuk membincangkan isu Rohingya yang turut melibatkan penghantaran semula pelarian ke Myanmar.

Semalam, pihak Bangladesh melaporkan pergerakan pasukan tentera dan polis Myanmar yang berhampiran di kawasan pagar sempadan Myanmar. Menurut laporan yang dipetik oleh Reuters, pasukan keselamatan Myanmar dilihat membawa senjata berat termasuk mortar. Salah seorang pelarian melaporkan kepada Reuters bahawa mereka telah menerima amaran oleh pasukan tentera Myanmar untuk berpindah keluar dari kawasan penempatan sementara tersebut.

Brigadier Jeneral Mujibur Rahman menyifatkan pergerakan pasukan tentera dan polis Myanmar di kawasan sempadan merupakan satu tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa. Persenjataan berat yang diletakkan di kawasan sempadan tersebut telah dialihkan selepas pertemuan antara pasukan pengawal sempadan kedua-dua negara.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?