Home Pertahanan dan Keselamatan Sambutan HUT TD ke-85 gilang gemilang

Sambutan HUT TD ke-85 gilang gemilang

by M.Daim

Port Dickson, 1 Mac – Hampir seramai 4,000 orang anggota  tentera hadir menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-85 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim menerima tabik hormat ketika tiba ke Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke- 85. Foto: Air Times News Network

Perbarisan yang dianggotai oleh seramai 159 pegawai termasuk 88 pegawai kanan dan 3,630 anggota serta 12 pegawai dan anggota Skuadron Istiadat Berkuda. Perbarisan ini diketuai oleh Panglima Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Datuk Hassan Ali.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim hadir menyempurnakan acara Perbarisan dan Perutusan Hari Tentera Darat ke-85.

Dalam perutusan tersebut, beliau telah menyatakan kejayaan yang telah dicapai oleh tentera darat sepanjang tahun 2017. Selain daripada menabur bakti dalam negara, Tentera Darat Malaysia turut dikenali diserata dunia melalui penglibatan anggotanya dalam perkhidmatan pasukan pemerhati dan pengaman di bawah Bangsa-bangsa Bersatu.

Pada masa yang sama, beliau menyentuh Diplomasi Pertahanan yang telah membawa faedah tersendiri kepada Tentera Darat Malaysia dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan pasukan tentera luar negara. Diplomasi Pertahanan merupakan salah satu Teras Hala Tuju Kementerian Pertahanan.

Menyentuh perkembangan Tentera Darat Malaysia, Tan Sri Zulkiple Kassim turut menyentuh beberapa pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia melalui perubahan doktrin, penambahan aset yang mengikut keperluan, penstrukturan semula mengikut perancangan semasa, dan juga peningkatan keupayaan anggota.

Evolusi sebegini adalah bagi menjamin kesiapsiagaan pasukan Tentera Darat Malaysia adalah berada di tahap yang tertinggi dan relevan dengan perubahan keadaan semasa serta mampu menghadapi perubahan di masa hadapan.

Dalam perbarisan tersebut, Tan Sri Zulkiple Kassim turut menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera Tahun 2017 yang disertai oleh semua formasi di peringkat Briged Tentera Darat. Anugerah tersebut dijuarai oleh Briged ke 4 Infantri (Mekanize), kedua Briged ke 10 Infantri (Para) dan ketiga Briged 12 Infantri.

Penyampaian Anugerah Seksyen Tempur Terbaik tahun 2017 kepada Batalion ke 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) yang telah memenangi pertandingan Ujian Kemahiran Seksyen Tempur.

Seramai dua orang pegawai dan lapan anggota turut dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) manakala satu pegawai, sembilan anggota dan dua kakitangan awam menerima Sijil Kepujian Ketua Perkhidmatan 2017.

Perbarisan diiringi oleh pancaragam gabungan terdiri daripada Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, Pancaragam Rejimen Renjer Diraja, Pancaragam Kor Amor Diraja, Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat dan Brassband Wanita Rejimen Semboyan Diraja yang diketuai oleh Komanden Pusat Latihan Muzik Tentera Darat, Kolonel Norman Kamarudin.

Terbang lintas dilaksanakan oleh pesawat Nuri Tentera Darat dan tiga helikopter Agusta A109 LOH yang diketuai juruterbang Mejar Shaiful Shaian dari Rejimen 882 Pasukan Tentera Darat.

Related Articles

Leave a Reply