Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah semasa mengumumkannya di Dewan Rakyat malam tadi berkata, ia salah satu daripada beberapa langkah diambil kerajaan Pakatan Harapan dalam meneruskan penglibatan negara membela nasib etnik berkenaan yang ditindas.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut berkenaan tempoh lanjutan perkhidmatan hospital berkenaan, yang sepatutnya ditamatkan perkhidmatannya hujung tahun ini.

“Malaysia juga akan teruskan penyertaan di dalam komuniti antarabangsa yang mencadangkan supaya penjenayah-penjenayah dalam kes menghalau, membunuh dan menekan etnik Rohingya ini dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, katanya tidak timbul isu memulihkan semula hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi antaranya berhubung isu penamatan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

“Ini kerana hubungan dua hala berjalan dengan baik seperti biasa malah kita sedang berusaha tingkatkan lagi,” katanya.

Persidangan bersambung esok. – BERNAMA