Home Pertahanan dan Keselamatan ATM komited teruskan misi di Cox’s Bazar

ATM komited teruskan misi di Cox’s Bazar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Seramai 22 petugas Tim Operasi Starlight-3 (OP STARLIGHT-3) akan berlepas ke kem pelarian Rohingya Cox’s Bazar, Bangladesh esok bagi mengambil alih tugas operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) dari Tim Operasi Starlight-2 (Tim OP STARLIGHT-2) yang telah menamatkan pengoperasian pada hari ini.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Dato’ Kamaruzaman Mohd Othman TUDM berkata, kesemua anggota tim terbabit adalah sebahagian daripada keseluruhan 48 anggota pasukan, apabila 26 daripada mereka telah berlepas ke Bangladesh pada Khamis lepas.

“Operasi yang diketuai oleh  Kol (Dr) Shamsul Bahary Muhamad selaku Komander misi kali ini akan disertai oleh 16 pegawai, 30 anggota lain-lain pangkat dan dua orang kakitangan awam.

“Pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar ini membuktikan ATM memiliki kapasiti dalam melaksanakan Military Operation Other Than War (MOOTW) khususnya yang berkaitan dengan bantuan kemanusiaan dan peredaan bencana (HADR).

Selain itu juga, Kamalruzaman berkata pengoperasian ini juga memberi ruang kepada ATM untuk menguji kecekapan pengoperasian Hospital Medan, apabila Operasi HMM di Cox’s Bazar ini telah mencatatkan sejarah dalam perkhidmatan ATM, dimana buat pertama kalinya Hospital Medan Tahap 3 dibuka dalam operasi sebenar di lapangan.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Kepulangan Tim Op STARLIGHT-2 dan Penghantaran Tim Op STARLIGHT-3 di Dewan Tanjung, Wisma Transit ATM, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Mastura Ahmad Mustaffa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dr. Karminder Singh Dhillon dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.

Tujuan utama pengoperasian HMM Cox’s Bazar adalah untuk menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan khususnya kepada pelarian Rohingya yang sedang berlindung di Bangladesh.

Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong usaha perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada pelarian Rohingya. Keseluruhan operasi dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tentera Bangladesh (ATB) serta dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan Malaysia.

Sehingga kini, HMM di Cox’s Bazar telah merawat lebih 64,000 pesakit dan melaksanakan lebih daripada 1,500 pembedahan yang menyelamatkan ribuan nyawa khususnya melibatkan masyarakat pelarian Rohingya.

Related Articles

Leave a Reply