KUALA LUMPUR, 20 Feb – Malaysia akan menghantar kontinjen kelima petugas Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar mulai esok.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Op Starlight-5 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.
Beliau telah menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Kolonel Dr Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar yang mengetuai 56 petugas Tim Operasi Starlight-5. Pasukan ini akan mengambil alih tugas dari Tim Operasi Starlight-4 yang telah melaksanakan tugas di HMM semenjak 6 bulan lalu.
Menurut Kol (Dr) Mohamed Zaki, seramai 56 orang petugas akan menyambung kesinambungan perkhidmatan HMM di Cox’s Bazar, Bangladesh.
Kontijen kelima ini terdiri daripada 8 pakar perubatan, 7 pegawai perubatan dan 41 staf perubatan yang menawarkan 7 bidang kepakaran termasuklah pakar sakit puan, pakar pembedahan ortopedik, pakar pembedahan umum dan pakar bius yang akan bertugas pada sebilang masa.
“Kumpulan pertama akan bergerak pada 21 Februari jam 2 pagi manakala kumpulan kedua akan bergerak pada 28 Februari,” katanya kepada pemberita.
Dr Mohamed Zaki menjelaskan, HMM telah berjaya merawat lebih 100 ribu orang pesakit yang terdiri daripada pelarian Rohingya dan termasuk juga penduduk tempatan sekitar Cox’s Bazar.
“Pencapaian yang dicapai sampai ke hari ini amat membanggakan dan berkaitan isu kelainan bangsa serta agama, ia tidak menjadi masalah kepada petugas-petugas HMM,
“Ini adalah kerana sambutan dan kerjasama yang sangat baik terjalin antara petugas-petugas dari Malaysia dengan petugas kesihatan dari Bangladesh,” tambahnya.
Dr Mohamaed Zaki juga menjelaskan HMM dapat membuat kolobrasi yang baik dari kerajaan Bangladesh kerana telah membenarkan dan meneruskan pengoperasian HMM di Cox’s Bazar dalam membantu etnik Rohingya yang dilanda masalah kemanusiaan.
“HMM mendapat sokongan yang padu daripada Arab Saudi, United Arab Emirates dan juga Brunei kerana telah menyumbangkan dana untuk HMM dalam membuat penyelenggaraan peralatan perubatan yang diberikan kepada pesakit, jelas Dr Mohamed Zaki.
Menurut Markas Angkatan Bersama (MAB), keseluruhan operasi HMM dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tenteranya. Operasi ini turut dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan Malaysia.
HMM telah mendapat pengiktirafan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap 3 terbaik, terlengkap dan paling dipercayai di Cox’s Bazar.
“Pengoperasian HMM merupakan detik bersejarah buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana buat pertama kalinya berjaya membuka dan mengoperasikan Hospital Medan Tahap 3 di lapangan operasi sebenar,
“Sebelum ini, ATM hanya mengoperasikan Hospital Medan Tahap 2 di mana-mana operasi ATM di dalam dan luar negara,” kata MAB.
Op Starlight mula dilaksanakan pada Mac 2018.
Mengenai wabak coronavirus (COVID-19) pula, Dr Mohamaed Zaki menjelaskan pihaknya telah membuat pemantauan di negara itu dan mendapati ia tidak mempunyai masalah serius di Bangladesh, namun langkah-langkah pencegahan akan diambil pada tahap yang tertinggi.
“Kami akan mengambil langkah pencegahan pada tahap yang tinggi, contohnya pergerakan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga sampai disana, kami akan pastikan semua petugas-petugas kesihatan memakai penutup mulut dan setiap individu mempunyai ‘hand sanitizer’ sendiri bagi mengamalkan tahap kebersihan diri terjaga,
“Kami akan lebih berhati-hati ketika berada dilapangan (daerah Cox’s bazar ) seperti mana yang kita tahu disana banyak penyakit berjangkit, dan kita (HMM) telah mengambil langkah-langkah pencegahan sejak dari awal tim operasi bertugas disana,” jelas Dr Mohamed Zaki.