Home Semasa Rakaman Audio SPRM: Najib, Rosmah hadir ke Bukit Aman esok

Rakaman Audio SPRM: Najib, Rosmah hadir ke Bukit Aman esok

by Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan hadir ke Bukit Aman esok untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata rakaman keterangan mereka akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Ya, insya-Allah kedua-dua mereka (Najib dan Rosmah) akan dipanggil pada pagi esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply