Home Pertahanan dan Keselamatan Bekas juruterbang F/A-18D Hornet terajui Markas Angkatan Bersama

Bekas juruterbang F/A-18D Hornet terajui Markas Angkatan Bersama

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Leftenan Jeneral Dato’ Yazid Arshad TUDM dilantik menjadi Panglima Angkatan Bersama (PAB) ke-13, hari ini.

Beliau menggantikan PAB ke-12, Leftenan Jeneral Dato’ Suhaimi Mohd Zuki yang akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi.

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Bersama telah diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira dan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Turut hadir ke majlis ini adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah.

Suhaimi telah menyandang jawatan PAB ke-12 semenjak 9 Januari 2019. Beliau telah berkhidmat selama 42 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lt Jen Dato’ Yazid merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semenjak 1982. Beliau merupakan bekas juruterbang jet pejuang F-5E Tiger II dan F/A-18D Hornet.

Ditauliahkan sebagai pegawai pada 26 Julai 1984, Yazid telah dianugerahkan Sayap Penerbangan pada 9 Januari 1986 selepas menamatkan latihan asas penerbangan di TUDM Alor Setar, Kedah.

Sebelum ini, Yazid pernah berkhidmat di No 11 Skuadron, No 12 Skn, dan No 18 Skn. Beliau pernah menjawat jawatan penting dalam TUDM seperti Pegawai Memerintah No 18 Skn, Komander Pangkalan Udara Kuantan, Pengarah Rancang Operasi, Ketua Staf Markas Wilayah Udara I dan Panglima Wilayah Udara 2.

Yazid dinaikkan pangkat dari Mejar Jeneral TUDM ke Lt Jen TUDM pada 19 Februari 2020.

 

 

Related Articles

Leave a Reply