Home Semasa Kumpulan kedua rakyat Malaysia di Wuhan akan pulang Selasa depan – Saifuddin

Kumpulan kedua rakyat Malaysia di Wuhan akan pulang Selasa depan – Saifuddin

by Bernama

VIENTIANE, 20 Feb – Malaysia akan membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada Selasa depan susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata terdapat kira-kira 77,000 rakyat Malaysia di China namun beliau tidak memaklumkan jumlah yang akan dibawa pulang ke tanah air melalui kumpulan kedua itu.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih (kepada Kerajaan China) atas bantuan yang diberikan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Satu lagi trip (membawa pulang rakyat Malaysia) pada 25 Feb ini,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus (COVID-19) di sini hari ini.

Pada 4 Feb, sejumlah 107 rakyat Malaysia telah dibawa pulang dari Wuhan, China dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan.

Mereka telah dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai untuk menjalani pemantauan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 18 Feb selepas tempoh kuarantin tamat.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin.

Pada pertemuan bersama Menteri Luar China ketika mesyuarat khas hari ini, Saifuddin berkata beliau turut memberi jaminan bahawa pejabat perwakilan Malaysia di China akan beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Saifuddin berkata larangan perjalanan sementara rakyat China dari Wuhan, Hubei masih diteruskan.

“Kita lihat perkembangan terkini di China dari semasa ke semasa. Sebarang pengumuman akan dibuat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply