KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Search and Rescue Exercise Air Region 2 Tahun 2025 (SAREX AR 2/25) di sekitar kawasan Op PASIR, Sandakan, Sabah bermula 29 September sehingga 3 Oktober ini.
Menurut kenyataan TUDM, latihan itu bertujuan menguji tahap keupayaan Military Rescue Sub Centre East (Mil-RSC East) yang berpusat di Markas Wilayah Udara 2, khususnya dalam melaksanakan koordinasi operasi carilamat secara bersepadu antara pasukan tentera dan agensi awam di Pantai Timur Sabah.
Latihan ini juga menjadi medan untuk mengekalkan kompetensi pegawai serta anggota dari aspek perancangan, pengkoordinasian dan pelaksanaan misi carilamat di lapangan.
“Selain menguji tahap kesiapsiagaan, SAREX AR 2/25 juga penting bagi memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam operasi menyelamat di kawasan perairan strategik Sabah,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah selain penglibatan aset maritim agensi penguatkuasaan di kawasan latihan yang telah digazetkan. – airtimes.my
#pertahanan #keselamatan #ATM #TUDM #operasi #SAREX #airtimes


