Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen berkas 11 PATI di TBS, baru tiba dari Kelantan

Imigresen berkas 11 PATI di TBS, baru tiba dari Kelantan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan terminal pengangkutan awam sebagai pusat transit sebelum mereka dihantar ke lokasi yang berkenaan.

Dalam kes terbaharu, seramai 11 PATI yang masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Kelantan, telah ditahan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kumpulan PATI berkenaan ditahan kira-kira jam 5.30 pagi dalam operasi khas oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas jabatan berkenaan.

“Gerakan itu dilancarkan selepas kita menerima maklumat orang awam mengenai sekumpulan PATI akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam. Ini adalah susulan kejayaan operasi terdahulu di lokasi sama pada penghujung Disember lalu,

“Pasukan operasi berjaya mengesan bas yang disyaki membawa PATI terbabit di Lebuhraya Pantai Timur menghala TBS dan sebaik bas itu tiba, pemeriksaan dilakukan ke atas semua penumpang dalam 2 bas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan masing-masing 5 lelaki Myanmar dan India serta seorang wanita warga India, semuanya berusia 20 hingga 58 tahun.

Seorang daripada lelaki Myanmar yang ditahan disyaki bertindak sebagai tekong mengiringi kumpulan PATI berkenaan menaiki bas dari Stesen Bas Kota Bharu, Kelantan ke ibu negara.

“Semakan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan tidak memiliki cap masuk Malaysia dan 4 warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,

“PATI warga India dikesan ada rekod senarai hitam dan dihalang memasuki negara ini berdasarkan kesalahan lampau,” ujarnya lagi.

Menurut Khairul Dzaimee, anggota sindiket akan menunggu di terminal dan seterusnya bertindak menguruskan pergerakan PATI yang baru tiba dari negara jiran itu ke lokasi yang ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan awal, PATI berkenaan mengaku tidak melapor diri untuk pemeriksaan imigresen semasa memasuki Malaysia. Tujuan mereka masuk untuk bekerja di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket,

“Mereka mendakwa membayar RM7,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini,” katanya.

Kesemua PATI berkenaan kemudian dibawa untuk ditahan di Depo Imigresen Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!