Dalam mendepani landskap keselamatan global yang semakin kompleks dan tidak menentu, sesebuah negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan konvensional atau tindakan ad-hoc semata-mata untuk menjamin kedaulatannya.
Kesedaran ini menjadi tunjang kepada amanat penting yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semasa Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 12 Januari lalu. Kementerian secara rasminya telah mengumumkan pelaksanaan dua dokumen strategik utama iaitu Pelan Strategi Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP).
Kedua-dua dokumen ini bukan sekadar pelan pentadbiran, sebaliknya ia bertindak sebagai peta jalan kritikal yang bakal mencorak hala tuju kesiagaan dan pemodenan angkatan tentera bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin./Foto:Zulhaizi/Airtimes
Intipati utama PSPN 2026-2030 adalah untuk menterjemahkan aspirasi “Angkatan Masa Hadapan” kepada satu realiti operasi yang ampuh. Fokus kementerian kini tertumpu kepada usaha memodenkan dan memperkasa kesiagaan aset pertahanan secara holistik, satu langkah yang amat mendesak memandangkan cabaran keselamatan serantau yang kian meruncing .
Dalam konteks ini, dokumen tersebut menggariskan keperluan mendesak untuk mengurus ancaman keselamatan serta mempertahankan kepentingan negara di Laut China Selatan secara berwaspada dan berhemah . Pendekatan diplomasi pertahanan turut ditekankan melalui kesinambungan inisiatif strategik bersama rakan-rakan ASEAN, membuktikan bahawa Malaysia memilih jalan kestabilan serantau tanpa mengabaikan ketegasan dalam mempertahankan kedaulatan wilayahnya.
Sebarang perancangan strategik tanpa sokongan fiskal yang kukuh hanyalah sekadar retorik. Menyedari hakikat ini, pelaksanaan PSPN 2026-2030 disokong oleh peruntukan Belanjawan 2026 yang berjumlah RM21.74 bilion. Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah mengkhususkan RM6 bilion semata-mata bagi perolehan aset strategik, satu pelaburan signifikan yang bertujuan untuk menutup jurang keupayaan sedia ada.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM)./Foto:Zulfadhli/Airtimes
Namun, kementerian tidak mahu sekadar menjadi pembeli senjata; sebaliknya, terdapat fokus yang jelas untuk memperkukuh pembangunan dan keupayaan industri pertahanan negara. Langkah ini adalah strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan membina ekosistem pertahanan tempatan yang mandiri.
Selain daripada perkakasan ketenteraan, transformasi pertahanan negara kali ini turut menyentuh aspek doktrin pertahanan menyeluruh. Kementerian sedang memantapkan pelaksanaan pendekatan “Whole-of-Government” dan “Whole-of-Society” (WOGOS), yang menuntut penggemblengan tenaga seluruh agensi kerajaan dan masyarakat awam dalam menjaga keselamatan negara.
Strategi ini diperkukuhkan lagi dengan reformasi tadbir urus menerusi pendigitalan dan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI). Integrasi teknologi canggih dalam sistem pengurusan pertahanan bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi juga bertindak sebagai mekanisme untuk memastikan ketelusan dan mengurangkan risiko ketirisan.

Antara aset yang dioperasikan ATM./Foto:Zulfahdli/Airtimes
Walau bagaimanapun, segala kerangka canggih ini tidak akan bermakna jika wibawa institusi rapuh dari dalam. Justeru, pelaksanaan PSPN 2026-2030 perlu bergerak seiring dengan tekad kementerian untuk memulihkan wibawa angkatan melalui reformasi tatakelola yang tegas dan konsep “ketelusan radikal”.
Menteri Pertahanan telah meletakkan penanda aras yang tinggi untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa yang disifatkan membarah, demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap ATM sebagai benteng pelindung negara.
Kesimpulannya, tahun 2026 menjadi titik permulaan kepada satu evolusi besar pertahanan negara yang menggabungkan kekuatan aset, kecanggihan teknologi, dan keutuhan integriti demi memastikan kedaulatan Malaysia kekal terpelihara. -airtimes.my
#Mindef #ATM #PSPN #RTKP #Airtimes





