Home Pertahanan dan Keselamatan Hormati perairan kita – Menhan

Hormati perairan kita – Menhan

by Noor Sheila Amin

KLANG, 8 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan hormati perairan kita termasuk perairan antarabangsa lain dan tidak mahu sebarang konflik ketenteraan berlaku di rantau ini khasnya di Laut China Selatan.

Menurutnya, kehadiran kapal perang di Laut China Selatan adalah situasi tidak baik untuk rantau ini.

Laut China Selatan perlu berada dalam situasi aman bagi meneruskan perjuangan negara sebagai negara berkecuali.

“Malaysia ada kepentingan ekonomi besar di situ iaitu perikanan dan minyak yang banyak dijumpai di perairan itu, jadi kita mahu negara aman sampai bila-bila,” katanya selepas melawat kapal KD Mahawangsa, semalam.

Kenyataan beliau itu juga disampaikannya dalam Dialog Shangri La (SLD) Edisi ke-17 baru-baru, di Singapura.

Jelasnya, beliau sudah bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan menteri pertahanan pelbagai negara seperti China dan Australia bagi mengulas perkara ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehadiran kapal perang di perairan Malaysia menggambarkan situasi ‘tidak sihat’.

“Ini adalah polisi kita, sudah tentu kita tidak boleh paksa, namun kita akan pastikan tidak akan ada kapal perang sekitar perairan negara.

Sebelum itu, Mohamad turut meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kapal KD Mahawangsa di perairan Selat Melaka.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai Kementerian Pertahanan yang pertama akan diaudit Jawatankuasa Siasatan Khas isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara, Mohamad berkata ia terserah kepada jawatankuasa itu.

“Kalau dia nak memilih Kementerian Pertahanan kita sedia dan kalau lain pun tidak apa. Itu terserah kepada jawatankuasa tersebut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply