KUANTAN, 18 OKT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperkasakan keupayaan kebolehoperasian bersama dalam melaksanakan penguatkuasakan undang-undang serta menjaga keselamatan maritim negara melalui Eksesais SAMUDERA PERKASA BARAT.
APMM memaklumkan, eksesais bersepadu yang bertemakan ‘Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, CARILAMAT dan Pengenalan Evoluasi Di Laut’ diadakan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) dan Perairan Laut China Selatan bermula 17 hingga 23 Oktober ini.
Pengarah APMM Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, eksesais ini dijalankan bagi meningkatkan pelaksanaan prosedur penguatkuasaan undang-undang maritim dan ‘interoperatibility’ antara TLDM dan APMM.
Beliau menambah, eksesais pada tahun ini akan melibatkan seramai 400 pegawai dan anggota TLDM dan APMM dengan lebih 10 aset dari MAWILLA 1, APMM Negeri Pahang, APMM Negeri Terengganu dan APMM Negeri Kelantan mengambil bahagian dalam latihan ini.
Tambah beliau, eksesais yang dihoskan APMM ini akan dilaksanakan secara Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX).
Dalam perkembangan sama, Timbalan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Shaiful Nizam Abdul Manan berkata, untuk latihan fasa laut, ia akan dilaksanakan di Perairan Kuantan dan sekitar Pulau Tioman melibatkan siri latihan evolusi, navigasi, Maritime Security Operations (MSO) dan aktiviti mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Jelasnya, bagi tujuan perkongsian ilmu semasa sesi latihan berlangsung, ‘Sea Rider’ dari kedua-dua agensi akan berada di dalam kapal secara bersama agar pengetahuan dan kepakaran pegawai dan anggota yang menyertai eksesais ini dipertingkatkan.
Terdahulu Laksamana Pertama Shaiful mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Maritim Pahang di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), hari ini.
Turut hadir Pengarah Eksesais dan Timbalan Pengarah Eksesais Samudera Perkasa Barat serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua agensi.-airtimes.my
#TLDM #APMM #pertahanan #keselamatan #airtimes