Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM tekad pertahankan kedaulatan perairan negara dari ancaman luar, termasuk pencerobohan nelayan asing

TLDM tekad pertahankan kedaulatan perairan negara dari ancaman luar, termasuk pencerobohan nelayan asing

by M.Daim

TANJUNG GELANG, 12 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyuarakan komitmen mereka untuk mengekang sebarang ancaman luar yang menggugat perairan negara termasuk nelayan penceroboh yang mencuri hasil laut dan khazanah negara.

Perkara tersebut ditegaskan oleh TLDM selepas kejayaan KD Pahang menahan sebuah bot nelayan penceroboh dari Vietnam, semalam.

“Bagi memastikan perompak khazanah negara ini tidak bertindak dengan sewenang-wenangnya menceroboh serta mengaut hasil laut negara secara haram dan tidak terkawal, TLDM akan memastikan rondaan berterusan, setiap hari, sepanjang tahun dilaksanakan,” tegas pihak TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Bot nelayan penceroboh berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri dari KD Pahang. Foto: TLDM

Semalam, KD Pahang telah melaksanakan rondaan di perairan pantai timur negara selesai menjalani latihan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) 6/19 yang berakhir pada 10 Mei lalu.

Dalam kenyataan tersebut, TLDM menyatakan KD Pahang telah berjaya mengesan sebuah bot nelayan asing yang sedang menunda pukat di dalam perairan Malaysia. Bot nelayan dari Vietnam tersebut berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran KD Pahang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan Vietnam telah menceroboh perairan negara dan menangkap ikan di dalam perairan negara tanpa kebenaran,” kata Komander Mehamad Khairun Zakaria, Pegawai Memerintah KD Pahang.

Kesemua 14 orang awak-awak bot tersebut didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Kesemua 14 awak-awak bot nelayan penceroboh yang ditahan oleh KD Pahang telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya. Foto: TLDM

 

Related Articles

Leave a Reply