KUALA LUMPUR, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65 kepada seluruh warga, veteran serta semua yang pernah berkhidmat bersama TUDM.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, jasa, khidmat, bakti TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara amat dihargai serta disanjungi.
“Semoga TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara serta menjadi sebuah angkatan udara yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka Baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Istana Negara, hari ini.
Pasukan udara dalam Angkatan Tentera Malaysia ini ditubuhkan pada 2 Jun 1958 dan dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) ketika itu.
Pada tahun ini, ulang tahunnya disambut dengan tema ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke-65 kepada seluruh warga TUDM.
“Saya hargai komitmen semua anggota TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara. Jasa dan keringat kalian pastinya dihargai sekalian rakyat,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook rasminya. -airtimes.my