Home SemasaGlobal Keupayaan udara China setara dengan Barat – Military Balance

Keupayaan udara China setara dengan Barat – Military Balance

by M.Daim

London, 18 Feb – Buku tahunan “The Military Balance” yang dihasilkan oleh International Institute for Strategic Studies (IISS) mendedahkan keupayaan tentera udara China di rantau Pasifik. Institut yang berpangkalan di London turut menyifatkan keupayaan China adalah setanding dengan Barat dan turut mempunyai pelbagai inovasi dalam dunia ketenteraan.

Menurut IISS, kemajuan tersebut adalah hasil daripada belanjawan tahunan negara itu yang sekata dengan kadar pertumbuhan kasar China.

Selain daripada itu, kerajaan China turut menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk memajukan teknologi kuantum yang memberikan lonjakan dalam bidang pemprosesan data serta membina sistem komunikasi yang canggih.

Menurut The Economist, senario syarikat swasta di China adalah berbeza dengan sektor yang sama di Barat. Di China, syarikat-syarikat tersebut mempunyai pilihan projek yang kecil dan mengikuti arahan dan keperluan yang digariskan oleh Beijing. Di Amerika Syarikat, Pentagon dilihat ‘terpaksa’ memujuk syarikat-syarikat berteknologi tinggi di Lembah Silikon.

The Military Balance turut melaporkan tahap kemajuan China untuk tempoh dua tahun. Ini termasuklah keupayaan negara kuasa besar Asia itu untuk menghasilkan jet-jet pejuang stealth yang sebelum ini dimonopoli oleh Amerika Syarikat. Jet pejuang Chengdu J-20 dilaporkan mempunyai kelebihan tersendiri dari segi jarak berbanding F-35 JSF. Menurut IISS, J-20 mampu memberikan ancaman yang serius kepada mana-mana kapal perang Amerika Syarikat di rantau barat Pasifik.

 

Selain daripada kemajuan teknologi stealth, China turut mempertingkatkan keupayaan peluru berpandu udara-ke-udara (AAM). Peluru berpandu AAM jarak dekat, PL-10 yang diperkenalkan pada tahun 2015 mempunyai prestasi yang setara dengan AIM-9X Block II (Sidewinder).

Pada tahun lalu, China telah memperkenalkan peluru berpandu radar BVRAAM, PL-15 dan dijangka akan mula digunakan pada J-20. PL-15 mampu untuk menyerang sasaran sejauh 50 kilometer. IISS menjangkakan PL-15 mampu untuk terbang pada kelajuan Mach 3 dan setara dengan peluru berpandu Meteor keluaran Eropah.

The Military Balance turut melaporkan, China sedang membangunkan peluru berpandu AAM yang mampu untuk menyerang sasaran sejauh 400 kilometer dan menyasarkan sasaran besar seperti pesawat AEWC/AWACS dan pesawat penangki.

 

Related Articles

Leave a Reply