KUALA LUMPUR, 18 Okt – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong rancangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Menerusi SD satu muka surat itu tertera nama Maszlee selaku Ahli Parlimen Simpang Renggam yang siap ditandatangan pada 9 Oktober lalu tular lewat petang semalam.
“Saya seikhlasnya memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (P132), untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan (ke-9) sehingga sidang Parlimen keempat belas (ke-14) dibubar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,
“Saya seikhlasnya memberi Akuan Bersumpah ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memberi kebenaran mutlak kepada Datuk Seri Anwar untuk mengemukakan Akuan Bersumpah ini kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya di dalam SD itu.
Menurut SD itu juga, Maszlee bersedia menjunjung titah untuk menghadap pada bila-bila masa yang diperkenankan oleh Baginda bagi mengesahkan Akuan Bersumpah ini.
“Saya juga menyatakan bahawa Surat Akuan Bersumpah ini diikrarkan untuk mengesahkan datuk Seri Anwar mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan (ke-9) selaras dengan Perkara 43. (2) (a) dan perkara 40. (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dan kandungannya ini adalah muktamad dan tidak boleh dibatalkan dalam apa keadaan dan apa sebab serta alasan sekalipun sehingga sidang Parlimen keempat belas (ke-14) dibubarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.
Dr Maszlee Malik merupakan Ketua Penerangan PEJUANG, parti yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengantikan UMNO dan Bersatu yang didakwa tersasar daripada matlamat asal. – airtimes.my