KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi di Simpang Renggam, Johor mulai tengah malam ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, PKPD dilaksanakan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam berikutan bilangan kes COVID-19 yang tinggi di kedua-dua kawasan terbabit.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif COVID-19 di Kluang, Johor,
“Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, PKPD yang diarahkan melibatkan 3,570 penduduk tempatan dari 650 keluarga.
“Penguatkuasaan bermula pada tengah malam ini, 27 Mac sehingga 9 April,” katanya.
Pelaksanaan PKPD melibatkan perintah berkurung kepada penduduk dan pelawat di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh tersebut. Pada masa yang sama, pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan yang dinyatakan.
Selain daripada itu, segala aktiviti perniagaan dihentikan.
Menurut Ismail Sabri, makanan asas selama 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup dan Pangkalan Perubatan akan di buka,” jelas kenyataan itu.
Beliau menambah, kerajaan telah mengerahkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal kawasan PKPD.