Home Semasa Maszlee mohon penduduk Simpang Renggam bertenang, kekal berada di rumah

Maszlee mohon penduduk Simpang Renggam bertenang, kekal berada di rumah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik memohon kepada semua penduduk bertenang dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk perlu kekal berada dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Mac hingga 9 April 2020.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas yang mencukupi kepada penduduk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang terbabit sepanjang tempoh tersebut.

“Pihak Pejabat Parlimen Simpang Renggam juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak ini berjaya dikekang sepenuhnya,

“Di pihak Pejabat Parlimen, kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini info serta bantuan yang boleh disalurkan,

“Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini (Whatsapp sahaja) untuk sebarang aduan atau info 010-235 0151,” kata Dr. Maszlee menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Maszlee juga memohon semua rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh penduduk Simpang Renggam dan para petugas dalam mengharungi masa-masa yang sukar ini.

Artikel Berkaitan: Dua hotspot COVID-19 di Simpang Renggam ditutup sepenuhnya

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan melaksanakan PKPD di dua lokasi di Simpang Renggam.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif COVID-19 di Kluang, Johor yang mana jumlah itu adalah 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply