Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Untuk memahami kepentingan dan juga keupayaan Joint Strike Missile (JSM), konteks asal pembangunannya, iaitu Naval Strike Missile (NSM) perlu difahami terlebih dahulu. JSM lahir daripada teknologi Naval Strike Missile yang dibangunkan oleh Norway. Norway merupakan sebuah negara rantau Scandanavia yang mempunyai geografi maritim yang kompleks serta garis pantai yang panjang dan berliku. Keperluan untuk mempertahankan perairan yang dipenuhi ‘fjord’.
Fjord merupakan fitur maritim yang unik dan tidak terdapat di negara kita, Malaysia. Di Norway, fjord merupakan kawasan perairan teluk yang panjang, sempit, dan dalam. Perairan ini mungkin kelihatan seperti sungai kerana diapit oleh tebing-tebing curam. Hakikatnya, ianya adalah hasil fenomena semula jadi yang memberikan cabaran tersendiri kepada Norway.
Keadaan ini telah memaksa Norway untuk membangunkan sistem persenjataan yang bukan sahaja pantas, tetapi sukar dikesan serta mampu beroperasi dengan tahap ketepatan yang tinggi.
Dalam peperangan moden, keupayaan menyerang sasaran bernilai tinggi secara tepat, senyap dan dari jarak yang jauh menjadi faktor penentu imbangan kuasa ketenteraan. Dalam konteks ini, JSM muncul sebagai salah satu sistem senjata paling signifikan, khususnya bagi negara yang bergantung kepada kelebihan teknologi dan kualiti berbanding jumlah aset yang besar.
Integrasi halimunan bersama F-35 Lightning II

Joint Strike Missile ialah misil kruis generasi baharu yang dibangunkan oleh Kongsberg Defence and Aerospace dengan kerjasama Raytheon dari Amerika Syarikat. Keistimewaan utama JSM terletak pada reka bentuknya yang dibangunkan khusus untuk beroperasi bersama pesawat pejuang generasi ke-5, F-35 Lightning II.
Pesawat F-35 direka dengan konsep halimunan bagi mengurangkan kebolehkesanan radar. Namun, kelebihan ini boleh terjejas sekiranya senjata bersaiz besar digantung pada luaran pesawat. Konfigurasi persenjataani ini akan meningkatkan keratan rentas radar yang sudah tentu memadamkan kelebihan utama pesawat tersebut dalam menembusi ruang udara musuh yang dikawal rapi.
JSM direka dengan bentuk badan yang kompak dan aerodinamik, membolehkannya dimuatkan sepenuhnya di dalam ruang senjata dalaman F-35. Keupayaan ini membolehkan pesawat mengekalkan profil halimunan sepanjang misi, membawa muatan serangan yang berkesan tanpa dikesan radar musuh sehingga saat pelancaran.
Pendekatan ini membezakan JSM daripada misil konvensional yang memerlukan pemasangan di bahagian luaran, termasuk sayap pesawat.
Sistem senjata pintar berkeupayaan tinggi
Joint Strike Missile bukan sekadar peluru berpandu yang bergantung kepada kelajuan semata-mata. Ia merupakan sistem senjata pintar yang menggabungkan perisian canggih, penderia pasif dan keupayaan pemprosesan data.
Salah satu kelebihan utama JSM ialah keupayaannya yang pelbagai peranan. Walaupun berasaskan daripada teknologi misil anti kapal, JSM juga direka untuk menyerang sasaran darat bernilai tinggi. Keupayaan ini membolehkan satu sistem senjata digunakan bagi melaksanakan pelbagai jenis misi, sama ada melumpuhkan kapal perang atau memusnahkan infrastruktur strategik yang dilindungi rapi.
Dari sudut penderiaan, JSM menggunakan teknologi imejan inframerah. Berbeza dengan misil yang bergantung kepada radar aktif, sistem ini beroperasi secara pasif tanpa memancarkan sebarang isyarat. Ia mengesan haba dan bentuk fizikal sasaran, sekali gus mengurangkan kebarangkalian dikesan oleh sistem amaran musuh.
Imej sasaran yang dikesan akan dipadankan dengan pangkalan data dalaman misil. Proses ini membolehkan JSM membezakan antara kapal awam dan kapal ketenteraan.
Profil penerbangan dan keupayaan mengatasi tangkisan musuh

Selepas dilancarkan, Joint Strike Missile terbang pada aras rendah di atas permukaan laut. Pendekatan ini membolehkannya bersembunyi di sebalik kelengkungan bumi serta gangguan persekitaran, sekali gus menyukarkan pengesanan awal oleh radar kapal musuh.
Apabila menghampiri zon pertahanan sasaran, JSM mampu melakukan manuver mengelak yang agresif bagi mengelirukan sistem pertahanan udara dan pemintas. Gabungan profil penerbangan rendah, penderia pasif dan kelajuan subsonik yang tinggi memberikan masa amaran yang sangat singkat kepada sasaran.
Bagi kapal perang moden, waktu untuk tindak balas terhadap ancaman seperti JSM sering kali hanya beberapa saat sebelum impak. Faktor ini menjadikan misil tersebut sebagai ancaman serius walaupun terhadap platform pertahanan yang canggih.
Implikasi geopolitik dan pencegahan strategik
Dalam konteks geopolitik, pemilikan sistem senjata jarak jauh seperti Joint Strike Missile memainkan peranan penting sebagai faktor cegah rintang. Dengan jarak jangkauan melebihi 275 kilometer, pesawat pelancar tidak perlu menghampiri kawasan berisiko tinggi untuk melaksanakan serangan.
Keupayaan ini melindungi nyawa juruterbang serta aset udara bernilai tinggi, disamping memberikan tekanan strategik kepada pihak lawan. Di rantau Asia Pasifik, beberapa negara seperti Jepun dan Australia telah mula mengintegrasikan JSM dalam perancangan pertahanan mereka, khususnya bagi menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Langkah ini mencerminkan perubahan ketara dalam imbangan kuasa serantau, di mana keupayaan serangan jarak jauh yang tepat menjadi komponen utama strategi pertahanan.
Simbol peralihan paradigma pertahanan
Joint Strike Missile melambangkan peralihan paradigma dalam pembangunan dan perbelanjaan pertahanan global. Penekanan kini bukan lagi kepada jumlah senjata yang dimiliki, tetapi kepada tahap kecerdikan, ketepatan dan kebolehan sistem tersebut beroperasi dalam persekitaran ancaman moden.
Bagi juruterbang pesawat pejuang, JSM berfungsi sebagai alat serangan halimunan yang membolehkan misi dilaksanakan tanpa mendedahkan diri kepada risiko tinggi. Dari sudut yang lebih luas, JSM bukan sekadar produk eksport pertahanan Norway, tetapi manifestasi hala tuju peperangan udara dan maritim masa hadapan.
Dalam landskap keselamatan global yang semakin kompleks, Joint Strike Missile menunjukkan bagaimana teknologi yang digabungkan dengan strategi yang tepat mampu membentuk keseimbangan kuasa dan corak peperangan pada masa akan datang. – airtimes.my
#AirTimes #KONGSBERG #TeknologPertahanan #JSM




















