Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Ancaman keselamatan maritim di Eropah kini tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional antara kapal dan peluru berpandu. Kehadiran sistem tanpa pemandu, khususnya dron, serta taktik peperangan hibrid yang sukar dibuktikan secara langsung telah mengubah cara ancaman itu muncul dan ditangani. Realiti baharu ini memaksa Eropah, termasuk Jerman, menilai semula keperluan pertahanan jarak dekat armada laut mereka.
Dalam konteks ini, Tentera Laut Jerman (Deutsche Marine) mengambil langkah proaktif dengan mempercepatkan pembangunan sistem pertahanan generasi baharu. Fokusnya bukan sahaja kepada keupayaan menangkis serangan, tetapi juga kepada ketepatan, keselamatan dan kebebasan strategik jangka panjang.
Dron dan peperangan hibrid: Pemacu perubahan
Ancaman dron kini menjadi isu utama dalam keselamatan maritim. Dron bersaiz kecil, murah dan sukar dikesan mampu digunakan untuk pengintipan, gangguan navigasi atau serangan langsung terhadap kapal. Dalam persekitaran peperangan hibrid, serangan sebegini sering berlaku tanpa tuntutan rasmi, menjadikan tindak balas ketenteraan lebih kompleks dari sudut undang-undang dan politik.
Bagi tentera laut, ancaman ini menuntut sistem pertahanan jarak dekat yang mampu bertindak pantas, tepat dan fleksibel. Sistem konvensional berasaskan peluru berpandu atau meriam semakin berdepan batasan, khususnya apabila digunakan di perairan sesak atau berhampiran kawasan awam.
Kerjasama Rheinmetall dan MBDA

Rheinmetall dan MBDA akan membentuk usaha sama untuk menggunakan senjata laser tentera laut, menggunakan demonstrasi 20 kW yang diuji di atas kapal frigat Sachsen bagi menentang dron dan ancaman udara jarak dekat. Foto: Rheinmetall
Dalam menghadapi cabaran tersebut, Jerman muncul sebagai antara negara agresif membangunkan senjata laser untuk kegunaan operasi sebenar. Pengumuman usaha sama antara Rheinmetall dan MBDA menjadi isyarat jelas hala tuju ini. Ia bukan sekadar kerjasama komersial, tetapi respons strategik terhadap ancaman keselamatan yang semakin meruncing di perairan Eropah.
Kerjasama ini bertujuan menghasilkan sistem senjata laser tentera laut yang beroperasi sepenuhnya, unik dan buatan Jerman menjelang tahun 2029. Bagi Deutsche Marine, laser bukan lagi teknologi eksperimen, sebaliknya komponen penting dalam ekosistem pertahanan kapal perang moden.
Kedaulatan teknologi dan agenda nasional
Perjanjian ini merupakan kemuncak kepada perkongsian teknikal yang bermula sejak 2019. Namun, di sebalik aspek kejuruteraan, terdapat agenda nasional yang lebih besar. Ketua Bahagian Senjata dan Peluru Rheinmetall, Roman Köhne, menegaskan bahawa nasionalisasi teknologi merupakan objektif utama sejak awal.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi di Jerman, di samping memastikan kedaulatan negara serta keselamatan bekalan semasa krisis.
Dalam situasi geopolitik yang tidak menentu, memiliki teknologi kritikal sendiri, mengurangkan kebergantungan kepada kelulusan eksport negara luar. Langkah ini juga menyumbang autonomi strategik Eropah, khususnya dalam bidang pertahanan laut yang semakin terdedah kepada tekanan kuasa luar.
Ketepatan laser dan kelemahan CIWS konvensional

Bundeswehr Jerman, bersama MBDA Deutschland dan Rheinmetall, telah menguji Demonstrator Senjata Laser, dengan lebih 100 tembakan lapangan terhadap pelbagai sasaran yang diselesaikan pada September 2023. Foto: MBDA
Salah satu kelebihan utama sistem laser Rheinmetall-MBDA ini ialah tahap ketepatannya yang ekstrem. Sejak 2019, unit demonstrasi senjata laser telah dipasang pada frigat kelas Sachsen milik Tentera Laut Jerman dan menjalani ujian intensif di laut selama setahun.
Dalam ujian tersebut sistem ini mampu menjejak sasaran bersaiz sekecil duit syiling secara berterusan tanpa kehilangan fokus. Rheinmetall menekankan, laser beroperasi “dengan tepat, cepat dan menghasilkan kerosakan cagaran yang minimum.
Ini merupakan kelebihan kritikal berbanding sistem pertahanan jarak dekat berasaskan meriam seperti Phalanx. Sistem meriam melepaskan ribuan peluru seminit, dan peluru yang tidak mengenai sasaran akan terus terbang, berpotensi mengancam objek di belakangnya. Senjata laser akan menghapuskan risiko “peluru sesat” ini, kerana ia menggunakan tenaga terarah tanpa peluru fizikal.
Rheinmetall dan realiti ancaman keselamatan semasa
Ancaman terhadap industri pertahanan Eropah bukan lagi bersifat teori, Sejak dua tahun kebelakangan ini, penampakan dron berhampiran lapangan terbang dan pangkalan tentera di Eropah semakin kerap dilaporkan. Fenomena ini sering dikaitkan dengan taktik tekanan strategik Rusia dalam konteks konflik Ukraine.
Rheinmetall sendiri menjadi sasaran langsung apabila perisikan Amerika Syarikat mendedahkan plot rancangan ejen Rusia untuk membunuh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rheinmetall, Armin Papperger pada tahun 2024.
Insiden ini membuktikan bahawa syarikat pertahanan kini bukan lagi entiti komersial semata-mata, tetapi menjadi sasaran di barisan hadapan konflik keselamatan moden.
Implikasi masa depan dan potensi eksport
Selepas ujian di laut, unit demonstrasi laser tersebut kini menjalani ujian berasaskan darat untuk mematangkan teknologi sebelum pengeluaran besar-besaran. Permintaan global terhadap sistem pertahanan laser laut dilihat meningkat, susulan didorong ancaman dron dan serangan asimetri yang semakin meluas.
Dalam jangka panjang, senjata laser berpotensi menjadi elemen standard pada kapal perang generasi baharu. Ia bukan sekadar inovasi teknologi, tetapi lambang perubahan asas dalam cara peperangan laut dirancang dan dilaksanakan, dengan kos operasi lebih rendah serta keupayaan menangkis ancaman murah tetapi berkesan. -airtimes.my
#Airtimes #MBDA #Rheinmetall #PertahananEropah #SenjataLaser #TenteraLaut #TeknologiPertahanan #PeperanganHibrid #AncamanDron





















