Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Dalam dunia pertahanan dan aeroangkasa yang dipenuhi pelbagai sistem persenjataan serta kenderaan tempur, terdapat juga pesawat yang dicipta bukan semata-mata untuk tujuan ketenteraan atau logistik. Ada yang dibina untuk mengangkut kargo, dan ada pula yang membawa simbol harapan, keupayaan, serta cita-cita sesebuah negara. Antonov An-225 Mriya tergolong dalam kategori akhir.
Pesawat gergasi ini dibangunkan oleh Biro Reka Bentuk Antonov pada penghujung era Kesatuan Soviet, sekitar akhir 1980-an. Ia lahir dalam konteks Perang Dingin, ketika persaingan teknologi antara kuasa besar menjadi ukuran prestij global. Namun, An-225 akhirnya dikenang bukan sekadar sebagai aset strategik, sebaliknya sebagai lagenda penerbangan yang meninggalkan kesan emosi mendalam kepada dunia.
Tujuan pembinaannya amat khusus dan luar biasa. An-225 direka bagi membawa Buran, kapal angkasa Soviet, bersama komponen roket berskala besar. Misi ini tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana pesawat sedia ada ketika itu. Justeru, jurutera Antonov diberi mandat untuk mencipta sebuah pesawat yang tiada tandingan dari segi saiz, kuasa dan kapasiti angkut.
Kelahiran sebuah gergasi udara

Antonov An-225 Mriya merupakan pesawat pengangkut kargo gergasi yang terkenal sebagai pesawat terbesar dan terberat di dunia dan sering singgah di Malaysia (KLIA) untuk misi komersial. Foto: Antonov Company
Nama Mriya yang bermaksud ‘mimpi’ atau ‘inspirasi’ dalam bahasa Ukraine, bukan sekadar gelaran simbolik, tetapi cerminan aspirasi teknologi dan keupayaan industri aeroangkasa Ukraine yang ketika itu berdiri megah di pentas dunia. Pesawat ini juga menjadi lambang keberanian manusia serta inspirasi kepada jurutera, juruterbang dan peminat penerbangan di seluruh dunia.
Bagi menggantikan pesawat Myasishchev VM-T yang semakin uzur, An-225 direka khusus dengan skala yang luar biasa. Projek ini diketuai oleh pasukan jurutera di Kyiv yang berdepan cabaran besar, merangkumi aspek kestabilan penerbangan, keupayaan pendaratan, serta kecekapan enjin bagi pesawat bersaiz mega.
Hasilnya ialah sebuah pesawat dengan enam enjin turbofan, berat maksimum berlepas mencecah sekitar 640 tan, dan sayap sepanjang hampir 88.4 meter. Ciri-ciri ini menjadikannya pesawat paling berat pernah diterbangkan dalam sejarah.
Detik bersejarah penerbangan ulung

Detik bersejarah apabila pesawat terbesar di dunia ini berlepas buat kali pertama, melambangkan keupayaan kejuruteraan aeroangkasa Kesatuan Soviet serta impian besar di sebalik nama ‘Mriya’, yang bermaksud “mimpi” atau “impian” dalam bahasa Ukraine. Foto: Antonov Company
Penerbangan ulung An-225 pada 21 Disember 1988 menandakan satu detik penting dalam sejarah penerbangan global. Pesawat tersebut berlepas dari Kyiv dan berada di udara selama 74 minit. Saat roda pendaratan terangkat dari landasan, dunia menyaksikan buat pertama kali sebuah pesawat dengan dimensi yang sebelum ini hanya wujud di atas pelan lukisan.
Penerbangan tersebut berlangsung dengan lancar dan data prestasi yang direkodkan melebihi jangkaan. Dari sudut simbolik, ia mencerminkan kemuncak keupayaan aeroangkasa Soviet. Pada masa sama, ia membuka lembaran baharu kepada konsep pesawat kargo strategik berskala mega yang mampu menyokong misi luar biasa.
Dari aset strategik kepada ikon global
Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, An-225 menjadi milik Ukraine dan diubahsuai untuk operasi komersial di bawah Antonov Airlines. Pesawat ini digunakan bagi mengangkut kargo luar saiz, termasuk penjana elektrik gergasi, komponen industri berat, serta bantuan kemanusiaan ke kawasan bencana.
Setiap pendaratan An-225 menarik ribuan peminat penerbangan, jurugambar, dan orang awam, menjadikannya satu peristiwa, bukan sekadar operasi logistik.
Dalam peranan baharu ini, Mriya membuktikan bahawa teknologi yang lahir daripada persaingan geopolitik boleh berfungsi dalam dunia aman. Ia menjadi alat bantuan kemanusiaan yang memberi manfaat kepada masyarakat global.
Namun, kisah Mriya berakhir dengan tragik. Pada 27 Februari 2022, ketika konflik Ukraine-Rusia memuncak, Lapangan Terbang Hostomel berhampiran Kyiv menjadi sasaran awal operasi ketenteraan Rusia. An-225 yang ketika itu sedang menjalani penyelenggaraan dan tidak berada dalam keadaan sedia terbang, musnah dalam serangan tersebut.

Imej Maxar Technologies menunjukkan gambaran kemusnahan pada Lapangan Terbang Antarabangsa Antonov di Hostomel, Ukraine, di luar Kyiv, pada 27 Februari 2022. Foto: Maxar Technologies
Hangar yang menempatkan pesawat gergasi itu mengalami kerosakan teruk akibat tembakan berat dan artileri. Badan pesawat hancur, bahagian hidung runtuh, manakala sayapnya rosak parah. Antonov kemudian mengesahkan bahawa An-225 tidak dapat diperbaiki dalam bentuk asal.
Mimpi yang pernah menggegarkan langit kini rebah di bumi, menjadi mangsa peperangan yang tidak mengenal simbol. Kemusnahan An-225 mendapat perhatian meluas media antarabangsa dan komuniti penerbangan. Ramai menyifatkannya sebagai kehilangan warisan global, bukan sekadar aset sebuah negara, tetapi melambangkan hilangnya satu ikon yang pernah dikagumi terhadap keupayaan teknologinya.
Walaupun An-225 sudah tiada, legasinya kekal. Ukraine menyatakan hasrat untuk membina semula Mriya suatu hari nanti. Sama ada impian itu akan menjadi kenyataan atau tidak, satu hakikat tidak berubah. Makna di sebalik namanya telah pun tercapai. Ia telah menginspirasikan jutaan manusia, merentas sempadan, ideologi dan politik. -airtimes.my
#Airtimes #Antonov #An-225 #Myria #pesawat #Soviet #Kyiv #pertahananudara #Ukraine #Rusia





















