IPOH, 18 JULAI – Seramai lebih 4,000 anggota tentera dari tiga negara, kini sedang menggegarkan bumi Perak menerusi pelaksanaan Eksesais KERIS STRIKE Siri 30/2025 yang bermula semalam.
Eksesais gabungan terbesar antara Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Tentera Darat Australia ini, menyaksikan penglibatan unit infantri, pakar ketenteraan serta formasi utama dari kerjasama trilateral pertahanan di rantau Indo-Pasifik.
Menurut kenyataan rasmi Tentera Darat, latihan ini direka bentuk untuk memperkukuh keupayaan operasi bersama, meningkatkan pertukaran kepakaran serta menguji tahap kesiapsiagaan taktikal dalam persekitaran pelbagai negara.
“Eksesais tahunan yang kini memasuki siri ke-30 ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama (interoperability) serta memantapkan hubungan ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat,
“Sejak mula dianjurkan, eksesais ini telah menjadi platform penting bagi latihan ketenteraan gabungan, yang merangkumi komponen seperti Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX), dan Field Training Exercise (FTX),
“Eksesais KERIS STRIKE ini bukan sahaja menjadi medan latihan, tetapi juga mencerminkan kesungguhan Malaysia dan rakan strategiknya dalam menjaga kestabilan rantau,” jelas Tentera Darat dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, latihan bersama ini dijadual berlangsung dari 17 hingga 29 Julai 2025, meliputi kawasan strategik dari Sungai Siput hingga Lenggong, Perak. Manakala, fasa FTX yang menjadi kemuncak eksesais dijadualkan dari 24 hingga 29 Julai, bagi menguji koordinasi dan keberkesanan taktikal antara pasukan.
Terdahulu, Air Times melaporkan, TDM akan melaksanakan latihan bersama Angkatan Tentera Australia dalam siri latihan ini, menjadikan penglibatan Rifle Company Butterworth dari Australia sebagai antara komponen penting. Penampilan mereka sejak edisi 2024 merupakan kemunculan sulung dalam sejarah KERIS STRIKE.
Dalam pada itu, sebagai formasi utama tahun ini, Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged) akan bekerjasama rapat dengan 1-27 Infantry Regiment dari 25th Infantry Division (USARPAC), Hawaii, serta Rifle Company Butterworth dari Australia.
Jumlah keseluruhan anggota yang terlibat ialah 415 pegawai dan 3,322 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Malaysia, 50 pegawai dan 183 LLP dari Amerika Syarikat serta 7 pegawai dan 129 LLP dari Australia.
Sebagai eksesais yang diiktiraf dalam kalendar kerjasama pertahanan Malaysia-Amerika Syarikat-Australia, KERIS STRIKE terus menjadi antara simbol keteguhan diplomasi ketenteraan Malaysia di rantau Indo-Pasifik. -airtimes.my
#berita #pertahanan #“EksesaisKERISSTRIKE #TDM #airtimes








