#SorotanKandungan
Sudah lebih sedekad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelut dengan keusangan aset, perolehan separuh jalan dan bajet pertahanan yang statik sekitar 1.0–1.1% KDNK. Aset lama terus dikerah, penyelenggaraan sekadar menyambung nyawa, manakala perolehan baharu sering tergendala mencetuskan satu kitaran tidak sihat dalam struktur dan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ketika negara jiran serantau melangkah ke depan dalam pemodenan ketenteraan, Malaysia masih terikat dengan legasi belanjawan rendah. Sasaran 1.5 peratus KDNK menjelang 2030 bukan soal pilihan, tetapi keperluan untuk menjamin kedaulatan.
Apa guna merancang strategi pertahanan jika peralatan yang digunakan sudah tidak lagi mampu menampung cabaran zaman? Itulah persoalan yang perlu dijawab apabila kita meneliti keadaan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebuah institusi yang kekal setia berkhidmat, tetapi terus bergelut dengan keterbatasan yang diwariskan dari tahun ke tahun.
Ketika dunia bergerak pantas memodenkan sistem pertahanannya, Malaysia masih terikat pada belanjawan pertahanan sekitar 1.0 hingga 1.1 peratus KDNK, antara yang terendah di Asia Tenggara. Sejak lebih sedekad lalu, angka ini tidak banyak berubah, mencerminkan keutamaan negara yang berat sebelah kepada sektor awam lain berbanding keselamatan strategik.
Situasi ini bukan dongeng politik, namun adalah fakta keras digarap dari peruntukan belanjawan yang membeku selama lebih 10 tahun. Realitinya, dalam diam, Malaysia sedang mewariskan satu legasi lemah kepada ATM iaitu legasi yang berpaksikan kekangan, keusangan dan ketidakkonsistenan dasar.
Keusangan aset: Legasi yang lama diwarisi (^kembali)

Masalah keusangan bukan isu baharu. Namun, apabila lebih 170 aset ATM berusia lebih 30 tahun seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Negara sebelum ini, ia bukan lagi sekadar angka lama dalam inventori. Sebaliknya, adalah risiko nyata terhadap keselamatan negara.
Dalam keadaan bajet yang sempit, ATM tidak punya banyak pilihan. Aset sedia ada perlu digunakan sepenuhnya dan kadangkala, melebihi had operasi asalnya. Aset seperti helikopter, kapal peronda, pesawat latihan, kereta perisai semuanya dikerah secara berterusan untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan. Aset lama tidak salah jika digunakan dengan strategi sokongan yang sesuai. Masalahnya, ATM kini tiada pilihan lain, tiada lebihan aset dan tiada pelan sokongan.
Keadaan ini mencipta satu kitaran tidak sihat. Aset yang semakin tua dan melebihi jangka hayat perkhidmatan asalnya memerlukan penyelenggaraan yang lebih mahal. Aset-aset ini bukan sekadar lama, tetapi sebahagian besar daripadanya tidak lagi disokong oleh pengeluar asal atau sukar diselenggara kerana kekangan alat ganti. Ini menyebabkan sistem penyelenggaraan tertangguh atau ATM hanya mampu “menyambung nyawa”, bukan mengembalikan prestasi asal.
Dalam landskap moden, ini adalah satu kerugian strategik. Risiko kegagalan teknikal, sama ada ketika latihan atau operasi sebenar, meningkat secara drastik. Lebih membimbangkan, peralatan usang ini dioperasikan oleh anggota yang terpaksa menyesuaikan latihan dan taktik mereka dengan kemampuan teknologi yang sudah jauh ketinggalan.
Nasib perolehan ATM: Senjata jadi sejarah (^kembali)

Kementerian Pertahanan (MINDEF) Malaysia telah membatalkan kontrak sewaan 4 helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) susulan kelewatan penghantaran. FOTO: LOCKHEED MARTIN
Mengulas lanjut, masalah pokok bukan sekadar pada angka bajet yang rendah, sebaliknya pada sifatnya yang tidak berkembang dan tidak konsisten. Dalam struktur bajet ATM, lebih 60 peratus peruntukan pertahanan dibelanjakan untuk kos operasi termasuk emolumen. Hanya sebahagian kecil sahaja yang tinggal untuk perolehan baharu sehingga menyempitkan ruang bagi pemodenan, pelaburan dalam penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Selain itu, sebahagian besar isu ini berpunca daripada tiadanya pelan jangka panjang yang bersifat menyeluruh dan bebas daripada turun naik politik. Walaupun Kertas Putih Pertahanan 2019 menggariskan pelbagai keutamaan transformasi ATM, pelaksanaan sebenar masih tergantung pada keupayaan fiskal tahunan yang sering diutamakan untuk sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
Maka tidak hairanlah apabila visi pemodenan ATM akan kekal sebagai retorik dengan pelbagai projek strategik akhirnya berakhir dengan “pertimbangan” sementara menunggu kelulusan kewangan yang mungkin hanya akan datang jika pentadbiran bertukar.
Tanpa dasar pertahanan yang konsisten merentasi pentadbiran, ATM terus bergerak dalam kitaran yang tidak produktif, sehingga menyebabkan perancangan jangka panjang menjadi mustahil dengan bajet pertahanan bersifat statik. Satu lagi implikasi belanjawan rendah adalah fenomena perolehan separuh jalan.
Susulan itu, ATM dilihat masih kurang berkemampuan untuk mewujudkan rizab aset tambahan yang mencukupi bagi menyokong dan menjadi tulang belakang kepada konsep pertahanan berlapis. Dengan tiada perolehan baharu yang dihantar secara besar-besaran beberapa tahun kebelakangan ini, hampir semua aset sedia ada digunakan secara bergilir. Ini sekaligus mewujudkan situasi tiada pelan sokongan sekiranya berlaku kecemasan besar atau konflik serantau.
Penyelenggaraan sekadar “menyambung nyawa” (^kembali)

Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) telah melaksanakan perbarisan sempena status usang (Obsolete) Kenderaan Perisai (KP) Radpanzer Condor (RPZ Condor) 4×4 dan Sibmas Armoured Recovery Vehicle (ARV) 6×6 bertempat di Padang Kawad pasukan pada 1 Jan 2023. FOTO: MK I DIV
Mengulas lanjut, apabila pemodenan tidak menjadi kenyataan, maka penyelenggaraan menjadi senjata terakhir. Namun dalam ATM, penyelenggaraan sering dilakukan secara minimum, cukup untuk memastikan aset masih “bernyawa”. Namun, risiko kegagalan teknikal ketika operasi adalah tinggi, terutamanya apabila aset dioperasikan melebihi jangka hayatnya.
Kes-kes seperti kegagalan helikopter ketika misi bantuan, atau kerosakan enjin kapal peronda ketika rondaan bukan lagi luar biasa. Ia adalah hasil langsung daripada sebuah sistem yang tidak menyokong keperluan pembaikan strategik.
Sementara itu, tidak dinafikan, apabila bajet terlalu sempit, kerajaan terpaksa memotong kos dalam perkara paling asas sekali pun, seperti pemberian uniform atau kelengkapan individu. Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mendakwa terdapat kekurangan dalam inventori pakaian seragam hingga menyebabkan anggota terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan pakaian standard.
Malah, isu kualiti material pakaian dan kelengkapan asas seperti but dan jaket juga kerap dibangkitkan oleh anggota sendiri. Jika asas sebegini pun tidak dapat dijamin, bagaimana kita boleh bercakap soal kemajuan digitalisasi atau pertahanan siber?
Malaysia ketinggalan ketika dunia belajar dari konflik (^kembali)

Peperangan moden kini menyaksikan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron berskala besar kerana ia lebih fleksibel dan kurang risiko kepada juruterbang manusia. FOTO: HIASAN
Konflik Rusia–Ukraine telah memberi banyak pengajaran kepada dunia, termasuk keperluan adaptasi teknologi dan kesediaan latihan tempur moden. Negara yang gagal membaca perubahan, seperti Korea Utara yang menghantar tentera upahan ke Ukraine tanpa latihan moden, akhirnya berdepan kerugian besar. Kegagalan beradaptasi memberikan kelebihan kepada musuh yang memiliki keupayaan senjata pintar dan sistem maklumat medan pertempuran yang lebih unggul.
Malaysia juga tidak boleh terus bergantung pada kelebihan aset semata-mata, sebaliknya wujud keperluan mendesak untuk peruntukan yang lebih besar kepada latihan. Dalam konteks ini, Malaysia boleh mengambil iktibar daripada konflik Asia Selatan. Rafale India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan, secara umumnya adalah pesawat tempur canggih. Namun ketidakbersediaan anggota mengendalikan pesawat tersebut menyebabkan kelebihan mempunyai pesawat canggih tidak bermakna.
Malah, ironinya, dalam konteks serantau, negara jiran yang satu ketika dahulu dianggap lebih “kuno” dari Malaysia kini telah jauh meninggalkan kita dari aspek infrastruktur dan kemampuan pertahanan. Filipina, misalnya, pernah bergantung kepada aset era Perang Dunia Kedua dan dilabel tentera paling lemah di ASEAN.
Namun kini, ketika Malaysia masih menunggu penghantaran pertama FA-50 dari Korea Selatan, Filipina sudah memiliki skuadron FA-50 dan menambah perolehan tambahan untuk peluru berpandu serta jet LCA baharu.
Thailand pula telah melengkapkan perolehan jet tempur Saab Gripen, menandakan hala tuju mereka ke arah kekuatan udara generasi ke-4. Malaysia masih berdepan persoalan tentang MCRA yang belum pun dimuktamadkan. Jurangnya semakin ketara, bukan kerana kita tiada keupayaan, sebaliknya kerana komitmen jangka panjang dalam bentuk bajet dan dasar yang kukuh masih belum wujud.
Sudah tiba masanya Malaysia meninggalkan legasi ini (^kembali)

Keengganan Malaysia meningkatkan peruntukan pertahanan hanya akan terus membiarkan ATM berjuang dalam bayang serta membuka jurang lebih besar dengan kekuatan ketenteraan serantau. FOTO: ZULHAIZI/AIRTIMES
Malaysia tidak boleh lagi selesa dengan status quo. Dunia pertahanan berubah, dan negara yang tidak bersedia akan menjadi mangsa. Bajet bukan sekadar angka namun kini lambang kesungguhan politik. Selagi ATM terus diberikan peruntukan “cukup makan”, kita akan terus mencipta tentera yang lemah secara tidak sedar.
Untuk bergerak ke hadapan, Malaysia perlu berani mengubah pendekatan: menetapkan semula prioriti bajet, membina struktur perolehan yang telus, dan memberi kepercayaan kepada ATM untuk berkembang sesuai dengan zamannya.
Malaysia telah lama mengekalkan pendirian berhati-hati dalam perbelanjaan pertahanan. Pada zahirnya, pendekatan ini ‘mungkin’ kelihatan seimbang dengan keperluan pembangunan negara. Namun hakikatnya, belanjawan pertahanan yang rendah secara berterusan telah mewujudkan legasi yang merencatkan kesiapsiagaan ATM dan menjejaskan kebolehupayaan negara untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman secara efektif.
Oleh demikian, sasaran 1.5 peratus KDNK menjelang 2030 bukan satu kemewahan melainkan keperluan asas dalam persekitaran serantau yang semakin kompleks. Namun, angka ini hanya akan membawa makna jika disokong oleh reformasi menyeluruh termasuk pelan perolehan yang konsisten, dasar dua parti dalam isu pertahanan, dan pemerkasaan sumber manusia ketenteraan.
Lebih penting lagi, Malaysia perlu membina strategi keluar daripada kebergantungan terhadap pembekal luar. R&D tempatan, industri pertahanan strategik, serta pemindahan teknologi mesti menjadi sebahagian daripada ekosistem masa depan ATM.
Kini masanya untuk meninggalkan legasi belanjawan rendah yang membelenggu kesiapsiagaan ATM. Bukan semata-mata untuk menyaingi jiran serantau, tetapi untuk memastikan kedaulatan negara benar-benar dapat dipertahankan, bukan di atas kertas, tetapi di medan sebenar jika diperlukan.
Sasaran 1.5 peratus KDNK menjelang 2030 hanyalah langkah pertama. Tetapi langkah itu perlu disertai dengan reformasi struktural, komitmen dasar jangka panjang, dan keberanian politik untuk meletakkan pertahanan sebagai teras kedaulatan sesuai dengan Titah Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini. -airtimes.my
#Diskusi #pertahanan #KDNK
