KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Konferens Ketua Perisikan Pertahanan ke-2 (2nd ASEAN Military Intelligence Community Leaders Conference – AMICLC 2) dan Mesyuarat Perisikan Pertahanan ASEAN ke-22 (22nd ASEAN Military Intelligence Meeting – AMIM 22) membuka ruang dialog strategik berprofil tinggi antara pemimpin perisikan pertahanan ASEAN.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM) dalam kenyataan berkata, sidang dwi-platform itu menghimpunkan 10 agensi perisikan pertahanan negara anggota bagi membincangkan isu keselamatan serantau, cabaran tradisional dan bukan tradisional, selain berkongsi pengalaman kritikal.
“Sidang ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan risikan kolektif ASEAN, malah membina asas diplomasi perisikan pertahanan yang mampu menjamin kestabilan, kepercayaan dan keamanan rantau dalam menghadapi cabaran geopolitik abad ke-21,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan lagi, platform itu juga menjadi wadah diplomasi ketenteraan untuk memperkukuh persefahaman strategik serta meningkatkan keyakinan bersama bagi membolehkan negara anggota memanfaatkan pengalaman antara satu lain.
“AMIM 22 menjadi mekanisme teknikal yang menyelaras perkongsian maklumat risikan, penilaian ancaman bersama dan koordinasi tindak balas terhadap cabaran keselamatan rentas sempadan,” katanya.
Selain itu, persidangan ini turut menumpukan terhadap ancaman keganasan, jenayah terancang dan ekstremisme, di samping memperkukuh profesionalisme perisikan melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran serta pembangunan keselamatan komunikasi.
Penganjuran oleh Malaysia ini sekali gus, menegaskan peranan negara sebagai rakan strategik dan pemacu diplomasi pertahanan serantau.
AMICLC 2 dan AMIM 22 yang dianjurkan oleh Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) berlangsung pada 7 dan 8 September 2025 dengan tema Kelestarian Kerjasama Perisikan ASEAN Yang Inklusif.
Tema itu menegaskan komitmen ASEAN untuk membina ekosistem risikan kolektif yang lebih responsif, telus dan berdaya tahan. -airtimes.my
#Airtimes #AMICLC2 #AMIM22 #Perisikan #Pertahanan #ASEAN #MDIO #MATM





