KUALA LUMPUR, 17 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap hubungan pertahanan antara Malaysia dan Jerman terus diperkukuh di masa hadapan.
Beliau berkata, kerjasama ini termasuk melalui penglibatan lebih banyak syarikat negara berkenaan dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dan inisiatif ‘Enable and Enhance (E&E)’ yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamed Khaled menegaskan, kedua-dua negara mempunyai kerjasama pertahanan yang baik sejak dahulu lagi.
“Malaysia merakamkan penghargaan kepada Jerman kerana memilih Malaysia sebagai pelabuhan persinggahan dan berharap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jerman dapat menggunakan peluang itu untuk mengeratkan hubungan,
“Saya percaya hubungan pertahanan yang baik ini tidak terhad kepada domain laut. Saya turut menzahirkan penghargaan kepada Jerman kerana memilih Malaysia sebagai persinggahan dalam German Air Force’s 2024 Asia-Pacific Tour,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melakukan lawatan ke kapal frigat Tentera Laut Jerman FGS Baden-Wurttemberg dan kapal sokongan tempur, FGS Frankfurt am Main yang berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang, pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Jerman #berlabuh #airtimes



