KUALA LUMPUR, 17 OKT – Situasi keselamatan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) akan menjadi tumpuan dalam sidang Dewan Rakyat pada hari ini.
Persoalan tersebut dibangkitkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, persoalan yang dibangkitkan oleh beliau merupakan soalan pertama bagi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
“Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan situasi keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) di dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNIFIL di Lubnan dengan mengambil kira perkembangan terkini serangan tentera Israel dan amaran daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan selatan Lubnan,” kata Ikmal dalam soalan itu.
Persoalan mengenai keberadaan dan juga keselamatan pasukan pengaman MALBATT menjadi tumpuan semenjak akhir-akhir ini berikutan tindakan Israel yang melancarkan serangan darat terhadap Lubnan semenjak awal Oktober lalu.
Serangan yang sebelum itu didakwa sebagai ‘serangan terhad’ oleh Tel Aviv kemudian menjadi penaklukan tentera Israel (IDF) dikesan mengerahkan kenderaan tempur dan infantri merentasi Garisan Biru (Blue Line) yang digariskan oleh PBB.
Di sebalik serangan berterusan oleh IDF, beberapa insiden melibatkan pasukan pengaman UNIFIL.
Antaranya kehadiran tentera Israel berdekatan dengan kedudukan pengaman Ireland di Titik (Point) 6-52, Maroun El-Ras pada 5 Oktober 2024.
Pada 9-10 Oktober, 3 posisi pasukan pengaman UNIFIL termasuk ibu pejabat di Naquora berhadapan dengan tindakan sengaja oleh tentera Israel.
Kejadian yang berlaku di kawasan pesisir sempadan Lubnan itu menyaksikan 5 anggota pengaman cedera dalam 3 kejadian berasingan di ibu pejabat UNIFIL.
UNIFIL turut mengesahkan tindakan kereta kebal Israel yang memusnahkan pagar serta menceroboh kem UNIFIL di Ramyeh. Kejadian yang berlaku di sektor Ghana itu turut menyebabkan anggota pengaman yang berlindung di kem terbabit mengalami masalah kesihatan akibat tembakan asap yang dilepaskan oleh tentera Israel.
Lantaran dari serangan melibatkan pengaman, negara-negara dunia termasuk Malaysia telah mengecam tindakan Tel Aviv yang sengaja membahayakan anggota pengaman.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres memberi amaran bahawa tindakan menyerang secara sengaja terhadap pengaman UNIFIL akan dikira sebagai ‘jenayah perang’. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan
