KUALA LUMPUR, 25 MEI – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di Negeri Pahang.
Markas ATM dalam siaran media menegaskan setiap latihan, eksesais dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional dan bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, ATM mengambil maklum keprihatinan, titah dan pandangan Tengku Hassanal mengenai pelaksanaan aktiviti latihan ketenteraan seperti dilaporkan media sebelum ini.
“ATM mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi serta penilaian impak alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
ATM turut memaklumkan langkah mitigasi, pemantauan dan penilaian berterusan dilaksanakan bagi meminimumkan kesan terhadap ekosistem semula jadi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Tengku Hassanal yang sebelum ini menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan di kawasan kepulauan Pahang, khususnya dari aspek kesan kepada ekosistem alam sekitar, flora dan fauna.
ATM dalam masa sama mengiktiraf kepentingan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan dan komuniti setempat.
Sehubungan itu, ATM memaklumkan mekanisme penyelarasan dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan latihan ketenteraan dijalankan secara lebih tersusun, selamat, teratur dan berhemah.
Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut mengambil kira sensitiviti setempat, terutama dalam pelaksanaan aktiviti ketenteraan di kawasan yang memerlukan kawalan dan penyelarasan rapi.
ATM turut menegaskan bahawa latihan ketenteraan kekal sebagai elemen kritikal dalam memastikan kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan tahap kompetensi angkatan berada pada tahap optimum,
“Latihan ketenteraan merupakan elemen kritikal dalam memastikan kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan tahap kompetensi angkatan sentiasa optimum demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, ATM sekali lagi menjunjung kasih dan menyatakan akur terhadap titah Tengku Mahkota Pahang. – airtimes.my


