KUALA LUMPUR, 13 MEI – G7 Global Aerospace dan HENSOLDT France menandatangani perjanjian kerjasama bagi menawarkan keupayaan Identification Friend or Foe (IFF), kriptografi dan National Secure Mode (NSM) untuk keperluan pertahanan Malaysia.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh HENSOLDT, perjanjian berkenaan ditandatangani semasa pameran Defence Services Asia (DSA) dan memberi tumpuan kepada projek strategik serta berdaulat di Malaysia, khususnya untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan.
Kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua syarikat menawarkan keupayaan, sokongan dan perkhidmatan dalam bidang IFF, kriptografi serta NSM.
Selain itu, bidang berkenaan penting bagi membantu melindungi pasukan dan platform ketenteraan daripada risiko tembakan sesama sendiri, selain menyokong keselamatan operasi pertahanan udara TUDM.
IFF ialah sistem pengenalan yang membantu membezakan platform sendiri dan platform lain dalam persekitaran operasi. Kriptografi dan NSM pula berkait dengan perlindungan komunikasi serta maklumat sensitif dalam sistem pertahanan.
Melalui kerjasama itu, G7 Global Aerospace akan memanfaatkan kehadiran tempatannya di Malaysia serta keupayaan kejuruteraan, integrasi dan perkhidmatan. HENSOLDT France pula akan membawa kepakaran dalam komunikasi selamat, sistem IFF dan keselamatan siber untuk sistem terbenam.
Pengarah Eksekutif G7 Global Aerospace, Dato’ Ir. Mathialagan Chellappan berkata, kerjasama tersebut tidak hanya tertumpu kepada kemasukan teknologi baharu, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan keupayaan tempatan.
“Tumpuan kami bukan semata-mata membawa masuk teknologi, tetapi membina keupayaan tempatan, kepakaran teknikal dan sokongan mampan kepada sistem pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata, gabungan teknologi HENSOLDT dengan keupayaan integrasi serta sokongan tempatan G7 Global Aerospace diyakini dapat menyokong objektif keselamatan dan kedaulatan Malaysia dalam jangka panjang.
Presiden HENSOLDT France, Philippe Guibourg berkata, kerjasama dengan G7 Global Aerospace membolehkan kedua-dua syarikat menyokong pembangunan keupayaan pertahanan Malaysia dalam bidang teknologi selamat.
“Kerjasama ini menumpukan teknologi berdaulat, boleh dipercayai dan selamat dalam bidang kritikal seperti IFF, kriptografi dan National Secure Mode,” katanya.
Kenyataan media itu turut menambah bahawa perjanjian berkenaan turut menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang kedua-dua syarikat di Malaysia, termasuk dalam meneroka peluang program pertahanan pada masa depan.-airtimes.my
