NEW DELHI, 26 SEPTEMBER – Kerajaan India telah memeterai perjanjian bernilai ₹62,370 crore (sekitar USD 7 bilion) dengan Hindustan Aeronautics Limited (HAL) bagi pembekalan 97 pesawat pejuang Tejas Mk1A, terdiri daripada 68 unit seater tunggal dan 29 unit seater berkembar.
Kementerian Pertahanan India dalam kenyataan menyatakan penghantaran pesawat ini dijadualkan bermula pada tahun 2027–28 dan akan diselesaikan dalam tempoh enam tahun. Kontrak ini dilaksanakan di bawah kategori “Buy (India-IDDM)” yang menekankan reka bentuk dan pengeluaran dalam negara.
Pesawat generasi terbaharu itu akan dilengkapi dengan radar AESA UTTAM, sistem pertahanan elektronik Swayam Raksha Kavach, dan penggerak permukaan kawalan yang dibangunkan secara domestik. Kandungan tempatan (indigenous content) dijangka meningkat melebihi 64 peratus dengan tambahan 67 komponen baharu berbanding kontrak Tejas Mk1A terdahulu pada 2021.
Kontrak baharu ini melengkapkan pesanan terdahulu untuk 83 unit Tejas Mk1A yang ditandatangani pada Januari 2021 tetapi belum dihantar sepenuhnya. Beberapa laporan menyebut kelewatan berlaku susulan isu penghantaran enjin F404 oleh General Electric di Amerika Syarikat serta cabaran integrasi sistem.
Kementerian Pertahanan India menjelaskan langkah ini adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh keupayaan Tentera Udara India (IAF) dalam tempoh peralihan sebelum pembangunan penuh pesawat Tejas Mk2.
Kelulusan awal bagi kontrak ini telah diberikan oleh Jawatankuasa Keselamatan Kabinet (CCS) pada 19 Ogos lalu sebelum ditandatangani secara rasmi pada 25 September 2025. -airtimes.my
#India #tejasMkA1 #pertahanan #HAL #pesawatpejuang #airtimes





