KUALA LUMPUR, 6 OKT – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengakui masih terdapat jurang keupayaan yang perlu dipenuhi dalam usaha memperkukuh pertahanan negara bagi menghadapi bentuk peperangan moden yang semakin kompleks.
“Pada masa ini, ATM mempunyai keupayaan asas dalam peperangan elektronik dan pertahanan udara jarak dekat untuk menghadapi ancaman udara tertentu. Namun, perlu diakui masih wujud jurang kemampuan terutama dalam aspek pertahanan udara berlapis jarak sederhana dan jauh, sistem Counter-Unmanned Aerial Systems (C-UAS) secara menyeluruh, serta integrasi penuh AI dan automasi dalam sistem perintah dan kawalan (C2),” katanya semasa Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan akan terus menilai keperluan keupayaan pertahanan negara secara berperingkat bagi memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa relevan dengan ancaman semasa dan masa hadapan.
Langkah ini, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang menekankan pembangunan teknologi tempatan serta kerjasama strategik dengan industri pertahanan global.
Adly menegaskan Kementerian Pertahanan kini memberi tumpuan untuk memperkukuh kepakaran dalam bidang peperangan elektronik (EW), siber, dan operasi dron, selaras dengan evolusi medan peperangan yang kini melibatkan penggunaan dron tempur, peluru berpandu jarak jauh dan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, antara langkah utama yang sedang dilaksanakan ialah mempertingkatkan kawalan keselamatan pangkalan serta aset strategik melalui teknologi pengesanan dan pencegahan pesawat tanpa pemandu (UAV).
“Kementerian Pertahanan turut menggiatkan kerjasama dengan rakan strategik serantau dan antarabangsa melalui latihan bersama, perkongsian teknologi serta pembangunan kepakaran,” katanya.
Adly menjelaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan beberapa perolehan aset baharu, termasuk sistem UAV Anka-S, bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengumpulan maklumat risikan. – airtimes.my
#AirTimesNews #PertahananKeselamatan #ATM #MINDEF #AdlyZahari

