IPOH, 11 OKT – Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 69/25 mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya pelatih wanita dinobatkan sebagai PjM U terbaik keseluruhan. Sebelum ini setiap siri latihan diungguli oleh PjM U lelaki sebagai pelatih terbaik keseluruhan.
Siri tahun ini mencatat sejarah baharu apabila PjM U (W) Norshafina Mohd Nooh, 26, anak kelahiran Segamat, Johor menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan PjM U. Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang Johor ini juga merupakan atlet negara dalam sukan kriket.
Beliau pernah mewakili Malaysia serta mendapat tempat keempat dalam acara Malaysia Super Women League 2024 di Bayuemas Ovel Klang, Selangor. Selain itu pernah mendapat tempat ke-2 berturut-turut mewakili kriket Johor dalam acara Women Interstate Malaysia Cricket 2023-2024.
Anugerah Akademik Terbaik dinobatkan kepada PjM U Muhammad Amzar Amsyar Aznan, 22, anak kelahiran Taiping, Perak. Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII Taiping ini sememangnya bercita-cita menjadi anggota tentera sejak kecil.

Beliau amat meminati aktiviti dan sukan lasak selain bergiat aktif dalam sukan Muaythai. Antara pencapaian tertinggi dalam sukan tersebut adalah mewakili Malaysia mendapat tempat ke-2 dalam Youth International Fight Night Kuala Lumpur 2019 dan mewakili Selangor dalam SUKMA 2022. Selain itu beliau juga aktif dalam sukan Wushu Sanda dan pernah mewakili Kedah bagi SUKMA Sarawak 2024 serta meraih gangsa.
Norshafina terpilih menyertai tred kejuruteraan avionik manakala Muhammad Amzar pula dalam tred pembantu pertahanan.
Terdahulu, perbarisan tamat latihan kali ini melibatkan 464 pelatih yang terdiri daripada 342 lelaki dan 122 wanita yang dibahagikan kepada dua skuadron dan lapan flait. Daripada keseluruhan pelatih seramai 206 merupakan pemegang diploma, Sijil Kemahiran Malaysia (30), STPM (33) dan SPM (195).
PjM U Siri 69/25 menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan bermula pada 21 April lalu dengan jumlah awal seramai 486 pelatih bagi mengikuti latihan asas ketenteraan, kelas akademik serta teori dan ujian praktikal. Selepas menamatkan latihan ini, mereka seterusnya akan menghadiri kursus asas ketukangan masing-masing sebelum ditempatkan ke unit-unit TUDM.
Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris dalam ucapannya memberitahu TUDM akan terus komited dalam melahirkan warga udara yang berintegriti, profesional dan berdaya saing. Ini selaras dengan visi TUDM untuk menjadi ‘Kuasa Udara Yang Unggul’.
Beliau turut menekankan agar setiap warga TUDM sentiasa peka terhadap evolusi teknologi terkini bagi menyokong keupayaan operasi TUDM pada masa hadapan. TUDM kini katanya sentiasa menumpukan latihan dan pendidikan kepada pembangunan kompetensi berasaskan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi.
