Keselamatan negara suatu ketika dahulu sering digambarkan dengan imej peperangan tradisional. Deruman kereta kebal, pasukan infantri di barisan hadapan, dan pertembungan angkatan tentera menjadi simbol utama ancaman keselamatan. Namun, landskap keselamatan abad ke-21 telah berubah secara menyeluruh. Ancaman tidak lagi datang hanya dari sempadan negara, tetapi juga muncul di ruang maya, ruang ekonomi dan dalam bentuk yang sukar dijangka.
Ancaman tradisional: Benteng lama yang kekal relevan
Ancaman tradisional merujuk kepada konflik ketenteraan dan peperangan fizikal antara negara. Sejarah manusia dipenuhi dengan contoh peperangan tradisional, daripada Perang Dunia hingga konflik serantau yang berasaskan perebutan wilayah, ideologi dan kuasa geopolitik. Dalam konteks ini, tentera menjadi benteng utama, dilengkapkan dengan aset darat, laut dan udara bagi mempertahankan kedaulatan negara. Walaupun dunia kini menekankan diplomasi dan kerjasama antarabangsa, risiko konflik bersenjata tidak pernah lenyap.
Situasi di Laut China Selatan membuktikan bahawa pertembungan ketenteraan masih relevan. Malaysia berada pada kedudukan strategik di rantau Asia Tenggara, menjadikannya tidak terkecuali daripada kesan percaturan kuasa besar. Justeru, kesiapsiagaan ketenteraan kekal sebagai komponen penting pertahanan negara.
Ancaman bukan tradisional: Musuh tanpa seragam

Berbeza dengan peperangan tradisional, ancaman bukan tradisional sering datang tanpa tanda amaran yang jelas. Ia tidak melibatkan tentera secara langsung, tetapi mampu menggugat keselamatan rakyat dan kestabilan negara.
Antara bentuk ancaman bukan tradisional ialah serangan siber, keganasan, jenayah rentas sempadan, pandemik, bencana alam, perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar. Serangan siber misalnya, boleh melumpuhkan sistem perbankan, komunikasi dan operasi kerajaan hanya dalam beberapa minit.
Pandemik Covid-19 pula, membuktikan bagaimana krisis kesihatan mampu melumpuhkan ekonomi global dan menjejaskan keselamatan manusia. Begitu juga dengan perubahan iklim yang mencetuskan bencana alam berskala besar sehingga memerlukan keupayaan pertahanan awam yang lebih tersusun.
Landskap keselamatan baharu
Abad ke-21 memperlihatkan keselamatan negara tidak lagi terbatas pada dimensi ketenteraan. Peperangan maklumat, propaganda digital, perebutan teknologi dan serangan berasaskan kecerdasan buatan kini menjadi cabaran baharu.
Maka, dalam keadaan ini, peranan agensi keselamatan perlu diperluaskan, bukan sahaja menjaga sempadan fizikal, tetapi juga melindungi ruang maya, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Malaysia juga telah memperkenalkan pendekatan pertahanan menyeluruh atau HANRUH sebagai asas menangani pelbagai bentuk ancaman ini. Konsep ini menekankan bahawa keselamatan negara bukan sahaja tanggungjawab angkatan tentera, tetapi turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan. – airtimes.my
#Airtimes #Ancamankeselamatan #Teknologi #Pertahanan #Malaysia
