WASHINGTON, 25 MAC – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mengemukakan pelan 15 perkara kepada Iran bagi menamatkan konflik perang yang kian meruncing di Timur Tengah.
Cadangan itu disalurkan melalui Pakistan yang menawarkan diri sebagai pengantara diplomatik
Media AS, The New York Times yang memetik dua sumber dalaman berkata, pelan tersebut merangkumi langkah berkaitan program nuklear, peluru berpandu balistik serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, status penerimaan cadangan itu oleh Iran masih belum jelas. Sokongan Israel terhadap pelan tersebut juga belum dapat dipastikan memandangkan konflik kini sudah memasuki minggu keempat.
Ketua tentera Pakistan, Field Marshal Syed Asim Munir, dilaporkan memainkan peranan penting sebagai perantara utama antara Washington dan Tehran.
Islamabad turut menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah rundingan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.
Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tempoh berhenti selama lima hari terhadap serangan ke atas loji kuasa dan infrastruktur tenaga Iran.
Beliau menyifatkan rundingan dengan Tehran sebagai “sangat baik dan produktif” sejak dua hari lalu.
Dalam masa sama, pegawai Iran memaklumkan mereka menerima mesej daripada beberapa “negara sahabat”, yang menyampaikan permintaan AS untuk rundingan bagi menamatkan perang.
Namun, Tehran menegaskan tiada rundingan langsung dengan Washington setakat ini.
Sejak 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang dilaporkan mengorbankan lebih 1,340 orang. Konflik itu turut menyaksikan kematian Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel serta beberapa negara serantau termasuk Jordan dan Iraq. Serangan tersebut turut menyasarkan kawasan yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Perkembangan ini memberi kesan kepada kestabilan serantau, selain menjejaskan pasaran global dan operasi penerbangan antarabangsa. – airtimes.my
