PARIS, 31 MAC – Perancis mendedahkan 3 insiden berasingan yang melibatkan ancaman dan tembakan oleh tentera Israel terhadap kontinjen pengamannya di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), di kawasan Naqoura.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot menyelar tindakan agresif tersebut dan menyifatkan insiden intimidasi serta pelanggaran keselamatan oleh tentera Israel terhadap kakitangan PBB itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak wajar.
Kesemua insiden dilaporkan berlaku di kawasan Naqoura, Sabtu lalu.
Berdasarkan laporan media Perancis, BFMTV, insiden pertama dikesan berlaku pada waktu pagi apabila tentera Israel berada di utara Naqoura mengacukan senjata ke arah Ketua Staf UNIFIL, Jeneral Paul Sanzey dan pembantunya.
Anggota tentera Israel telah mengarahkan mereka yang sedang dalam perjalanan pulang dari Beirut untuk segera meninggalkan kawasan tersebut.
Walau bagaimanapun, Jeneral Paul dan pembantunya berjaya kembali ke kenderaan mereka dan meneruskan perjalanan ke pangkalan di Naqoura.
Menjelang tengah hari, satu lagi insiden direkodkan apabila tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan ke arah konvoi logistik dalam misi ulang bekal. Konvoi tersebut dikendalikan oleh anggota tentera Perancis bersama beberapa anggota lain.
Ketegangan berterusan memuncak pada lewat petang apabila sebuah kereta kebal Merkava milik Israel melepaskan tembakan yang menyasarkan markas pemerintahan Pasukan Simpanan Komander (Force Commander Reserve). Pasukan tersebut merupakan unit tindak balas pantas di bawah arahan langsung Komander UNIFIL yang dianggotai oleh batalion gabungan Perancis dan Finland.
Meskipun berdepan dengan siri provokasi bersenjata berturut-turut pada hari yang sama, kesemua insiden tersebut dilaporkan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kalangan anggota pengaman.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot menyifatkan insiden intimidasi dan ancaman keselamatan ke atas kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sebagai tindakan yang tidak wajar serta tidak boleh diterima.
“Tindakan tentera Israel ini amat dikesali apatah lagi segala prosedur meredakan ketegangan (nyahkonflik) telah pun dipatuhi sepenuhnya oleh pihak PBB,” kata beliau dalam satu hantaran di platform X.
Susulan siri provokasi serius di Naqoura dan insiden berasingan yang meragut nyawa tiga anggota pengaman Indonesia di selatan Lubnan, Perancis telah menuntut agar satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) diadakan dengan kadar segera. – airtimes.my
