Sesebuah negara memiliki bangsa, agama, etnik dan budaya yang membentuk identiti di bawah pemerintahan tersendiri. Namun, sejarah dunia mencatatkan kewujudan bangsa kaya budaya tetapi tidak memiliki negara berdaulat. Antara yang paling menonjol ialah bangsa Kurdish, yang terkenal dengan keberanian, ketahanan diri serta tradisi sosial yang unik.
Walaupun mempunyai bahasa dan budaya tersendiri, mereka berpecah di bawah kuasa empayar berbeza selama berabad-abad. Bangsa Kurdish diiktiraf sebagai antara etnik tertua di Timur Tengah, membawa kisah panjang perjuangan identiti, sejarah gemilang, dan harapan membentuk negara sendiri yang masih belum tercapai.
Kini, anggaran mereka melebihi 30 juta orang tersebar di Turkiye, Iraq, Syria, Iran dan sebahagian kecil di Armenia. Tanah yang mereka diami sejak dahulu ini dianggap tanah asal, namun mereka kekal tanpa entiti politik sendiri kerana berada dalam wilayah negara lain seperti Iraq dan Turkiye.
Wilayah yang terpecah selepas Perang Dunia Pertama
Kurdistan pada asalnya pernah diiktiraf sebagai wilayah tersendiri. Namun, selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah pada awal abad ke-20, Perjanjian Sèvres (1920) yang menjanjikan autonomi kepada Kurdish terbatal, susulan itu mereka mula terpecah kepada beberapa wilayah bermula tahun 1639.
Bagaimanapun, Perjanjian Lausanne (1923) yang menggantikan perjanjian tersebut, menetapkan sempadan moden tanpa mempertimbangkan aspirasi mereka. Keadaan ini menjadikan bangsa Kurdish salah satu etnik terbesar di dunia tanpa negara itu subjek penting dalam geopolitik Asia Barat.
Lokasi strategik dan kekayaan di wilayah mereka menyebabkan negara sekeliling enngan melepaskan pengaruh. Tambahan pula, perpecahan politik dalaman kumpulan Kurdish menghalang kesatuan yang kukuh dalam memperjuangkan matlamat bersama.
Kewujudan Suku Kurdi
Bangsa Kurdish dipercayai berasal daripada suku Indo-Eropah yang menetap di wilayah Kurdistan sejak ribuan tahun lalu. Mereka hidup secara nomad di kawasan pergunungan, berburu, bertani dan berpindah mengikut musim.
Mereka terkenal sebagai pahlawan yang tangkas dan ahli perang gerila yang sukar ditundukkan. Lebih-lebih lagi, kedudukan geografi bergunung-ganang memberi kelebihan mempertahankan tanah mereka daripada penaklukan luar.
Sebahagian besar orang Kurdish beragama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, manakala ada yang mengikut Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiah. Orang Kurdish di selatan Iran dan tenggara Iraq pula, kebanyakannya bermazhab Syiah, sementara sebahagian kecil menganut Kristian, Ortodoks dan Yahudi.
Bahasa dan budaya

Suku Kurdi kaya dengan budaya dan bahasa tersendiri, meskipun hidup berpindah-randah dan tiada negara, mereka tetap dengan pendirian memperjuangkan dalam membentuk negara sendiri. FOTO: GAMBAR HIASAN
Identiti Kurdish kekal melalui bahasa, budaya dan tradisi. Bahasa mereka terbahagi kepada dialek utama seperti Kurmanji dan Sorani. Lagu rakyat, tarian tradisional, dan perayaan Newroz (Tahun Baru Kurdish) menjadi simbol kebanggaan etnik ini.
Namun, identiti ini berdepan tekanan di beberapa negara. Misalnya di Turkiye, penggunaan bahasa Kurdish pernah diharamkan selama beberapa dekad. Di Iran dan Syria, kebebasan berbudaya dikawal ketat. Walaupun begitu, budaya Kurdish tidak pernah terpadam, malah terus berkembang melalui media moden dan diaspora di Eropah.
Salahuddin Al-Ayubbi: Tokoh Islam berbangsa Kurdish
Di sebalik naratif ini, sejarah mencatat bahawa dari bangsa ini juga lahirnya seorang tokoh agung Islam, Sultan Salahuddin al-Ayubbi atau Yusuf bin Ayyub yang lahir pada 1137 Masihi di Tikrit, Iraq. Beliau dikenali kerana memiliki sifat keberanian, kebijaksanaan dan kemanusiaan, terutama dalam sejarah Perang Salib.
Pada 1187, beliau berjaya menawan semula Baitulmaqdis (Jerusalem) daripada tentera Salib selepas hampir 90 tahun dikuasai. Kemenangannya di Perang Hattin membuka jalan kepada pembebasan kota suci itu. Berbeza dengan kekejaman tentera Salib pada 1099, Salahuddin memberikan pengampunan dan perlindungan kepada penduduk Kristian, menjadikannya dihormati musuh sekalipun.
Peranan identiti Kurdish dalam kepimpinannya
Sejarawan berpendapat, meskipun beliau dilahirkan sebagai orang Kurdish bangsa tidak bernegara, perjuangannya bersifat pan-Islam, bukan kebangsaan. Pada zamannya, konsep negara bangsa seperti hari ini belum wujud. Namun, fakta menunjukkan seorang Kurdish mampu mendirikan empayar besar dan menjadi simbol penyatuan Islam, sesuatu yang ironis jika dibandingkan dengan keadaan bangsanya kini.
Legasi Salahuddin membuktikan bangsa Kurdish mempunyai potensi kepimpinan besar. Namun, sehingga kini mereka terus bergelut untuk mendapatkan negara sendiri, malah perlu berdepan diskriminasi, penindasan dan konflik berpanjangan.
Persoalannya, sampai bila bangsa yang terkenal dalam sejarah ini akan terus hidup tanpa negara? Masa depan akan menentukan sama ada mereka kekal sebagai “bangsa tanpa tanah air” atau berjaya merealisasikan impian membina negara sendiri, seperti yang telah lama diharapkan sejak berabad lamanya. -airtimes.my
#Airtimes #Kurdish #Salahuddinal-Ayubbi #Turkiye












