Pernahkah anda menerima panggilan kononnya daripada ‘polis’ atau ‘pihak bank’ yang menuntut bayaran segera, atau mesej ganjil yang menjanjikan hadiah lumayan? Jika ya, anda bukan keseorangan dan itulah wajah baharu jenayah di era digital, yang kini menjalar dalam diam dan menjadikan penipuan sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat demi mendapatkan keuntungan.
Siapa sangka kemajuan teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan kini menjadi senjata yang menikam pengguna secara halus. Penjenayah digital tidak lagi memerlukan senjata api atau topeng, cukup dengan skrip meyakinkan, laman sesawang palsu, atau suara yang menyamar sebalik talian. Serangannya senyap, pantas dan sering kali berakhir dengan kerugian yang tidak sedikit, bukan sahaja wang ringgit, malah barang-barang berharga ataupun maruah harga diri seseorang yang mudah terpedaya dengan tipu helah scammer.
#SorotanKandungan
Teknologi digital bukan lagi suatu ruang yang menjamin keselamatan dan perlindungan yang menyeluruh. Walaupun, terdapat pelbagai manfaat serta kebaikan yang boleh diambil dan diikuti, wajar sebagai pengguna untuk menilai terlebih dahulu terhadap setiap pengisian di media sosial, terutamanya apabila melibatkan wang atau benda yang berharga.
Lebih membimbangkan, jenayah ini mereba dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, menjadi antara faktor utama menular dan bercambahnya jenayah penipuan ini. Tanpa disedari musuh terbesar hari ini memanfaatkan tekanan hidup, ketidaktentuan pekerjaan, dan obsesi terhadap hidup gaya mewah. Cukup sekadar notifikasi mesej, panggilan tidak dikenali dan janji palsu di hujung skrin, sekelip mata sahaja dapat menjerat pengguna.
Daripada panggilan mencurigakan, mesej palsu, sehinggalah pelaburan maya yang menjanjikan pulangan luar biasa, realitinya kini bukan lagi “adakah aku akan menjadi mangsa?” tetapi “bila pula giliran aku?”.
Anak muda, teknologi dan penipuan: Generasi celik digital juga mangsa (^kembali)
Di sebalik kecekapan menggunakan teknologi, generasi muda kini menjadi antara kumpulan paling terdedah. Mereka membesar dengan telefon pintar, media sosial, permainan atas talian dan pelbagai aplikasi digital. Namun, celik digital tidak bermaksud celik keselamatan siber.
Keterbiasaan mereka dengan penggunaan media sosial, e-dagang, aplikasi perbankan, dan pelbagai platform digital menjadikan mereka sasaran utama sindiket siber. Tanpa latihan tentang keselamatan dalam talian, ramai mudah terperangkap, sama ada melalui mesej palsu berunsur kecemasan, tawaran kerja sambilan, atau pelaburan pantas yang menjanjikan kekayaan segera. Di sinal sindiket scam mula memasuki ruang peribadi mangsa.
Persoalannya, bagaimana generasi celik digital ini masih boleh diperdaya? Dan lebih membimbangkan, mengapa ada yang tergamak menyertai sindiket penipuan itu sendiri?
Celik teknologi tidak bermakna kebal (^kembali)
Ini mendedahkan realiti, meskipun mahir dalam teknologi, golongan ini tetap mudah terpedaya, akibat sifat ingin tahu, kepercayaan tinggi terhadap sistem, atau dorongan untuk berjaya dalam masa singkat.
Lebih-lebih lagi, modus operandi scammer yang semakin meluas hari ini amat pelbagai, dari phishing, pemalsuan profil profesional, pelaburan palsu sehinggalah ke manipulasi kecerdasan buatan (AI) dan deepfake. Sasarannya bukan lagi terhadap warga emas atau mereka yang kurang pendedahan digital, tetapi turut melibatkan pelajar universiti, pekerja muda, dan usahawan dalam talian.
“Serangan perisian tebusan, pencerobohan data dan tipu daya dalam siber semakin meningkat… menurut data daripada CyberSecurity Malaysia, kes ‘ransomware‘ melonjak sebanyak 78 peratus dalam suku keempat tahun 2024 berbanding suku sebelumnya,” menurut, Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Arus teknologi yang kian canggih dan ‘berkelas’ seperti AI atau deepfake memudahkan kegiatan jenayah moden berleluasa tanpa batas secara halus. FOTO: GAMBAR HIASAN
Ilusi ‘cepat kaya’ dan kesunyian digital (^kembali)
Kecanggihan dan kepelbagaian yang dipaparkan, ditawarkan dalam media seperti penjualan barangan yang menarik, perkhidmatan serta jual beli item dalam permainan dan tukaran mata wang maya, ini sekaligus dianggap sebagai pelengkap dalam memenuhi kehendak mereka. Oleh itu, mereka akan membuat dan mudah mempercayai apa sahaja demi mendapatkan keinginannya.
Salah satu daya tarikan utama yang menjerat anak muda ialah, janji kekayaan segera seperti pelaburan mata wang kripto, NFT, atau e-dagang palsu. Tawaran pulangan yang tinggi, testimoni palsu, dan laman sesawang rekaan profesional inilah yang meyakinkan mangsa untuk menyerahkan wang, kadangkala sehingga mencapai ribuan ringgit, tanpa menyedari mereka sedang ditipu.
Lebih halus lagi, terdapat unsur psikologi digital seperti kesunyian maya. Dalam dunia yang kaya dengan interaksi maya tetapi kurang hubungan sebenar, ramai mencari perhatian dan validasi. Di sinilah muncul penipuan cinta atau love scam, yang membina hubungan palsu untuk menjerat emosi dan kewangan mangsa.
Lebih membimbangkan adalah fenomena di mana anak muda bukan sekadar menjadi mangsa, tetapi akhirnya direkrut menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan atau keldai akaun tanpa mereka sedari. Tawaran pekerjaan yang kelihatan sah melalui media sosial atau aplikasi pesanan akhirnya menjerat mereka dalam sindiket jenayah siber, menyebabkan mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti haram yang boleh membawa implikasi undang-undang yang berat.
Dalam beberapa kes yang dilaporkan di Malaysia dan negara jiran, belia dijanjikan kerja bergaji lumayan di luar negara, namun sebenarnya membawa mereka ke pusat panggilan haram. Mereka yang tidak menyedari perangkap ini, khususnya lepasan sekolah atau graduan yang menganggur, akhirnya terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan jenayah siber.

Kegiatan scam menerusi atas talian dilihat semakin membarah, lebih-lebih lagi mengheret warga Malaysia yang diperdaya dengan pekerjaan ‘palsu’ oleh luar negara. FOTO: GAMBAR HIASAN
Di sana, mereka dilatih untuk menyamar sebagai pegawai bank, polis, atau pelabur profesional demi memperdaya mangsa dari negara asal mereka sendiri. Lebih menyayat hati, sebilangan daripada mereka sukar untuk melepaskan diri apabila telah ‘masuk terlalu dalam’ setelah diugut, didera dan dikurung.
Ancaman, keganasan, dan pemerasan antara bentuk kekerasan yang digunakan adalah untuk mengekalkan mereka dalam rantaian penipuan. Dalam erti kata lain, mereka berubah daripada mangsa kepada alat jenayah.
Tanggungjawab bersama(^kembali)
Melihat kepada realiti ini, jelas bahawa isu scam bukan hanya soal keselamatan siber, tetapi turut menyentuh aspek sosial, psikologi dan ekonomi. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh, melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, komuniti dan keluarga serta platform digital.
Walaupun, kerajaan melalui agensi seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan kempen kesedaran awam, namun kesedaran sahaja tidak mencukupi. Literasi digital dan pendidikan keselamatan siber harus dimulakan seawal bangku sekolah, termasuk pemahaman tentang manipulasi sosial (social engineering).
Manakala, di peringkat universit kempen anti-scam boleh diperluas melalui kerjasama platform teknologi, syarikat fintech, dan komuniti siber. Diskusi terbuka mengenai kes-kes sebenar wajar digalakkan untuk menghapuskan stigma bahawa mangsa itu ‘bodoh’ atau ‘cuai’ kerana hakikatnya sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.
Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam membimbing nilai sebenar kejayaan sebenar dan mengawal tekanan sosial anak-anak di alam maya, dengan menanamkan kefahaman bahawa tiada jalan pintas ke arah kekayaan atau populariti.
Dunia digital membuka banyak peluang seperti pendidikan terbuka, jaringan global dan ruang kreativiti tanpa sempadan. Namun, di sebalik keindahan itu, ada jerat yang menanti mereka yang alpa. Jika teknologi diibaratkan sebagai pedang bermata dua, maka generasi muda perlu dibekalkan bukan sahaja dengan kemahiran, tetapi juga kebijaksanaan dan kepekaan dalam menilai antara apa yang benar dan apa yang menipu.
Dalam dunia hari ini, walaupun seseorang itu mahir teknologi, itu tidak menjadikan dia kebal daripada menjadi mangsa atau lebih buruk, menjadi sebahagian pelaku jenayah yang menjerat mangsa. -airtimes.my
#Airtimes #scam #remaja #teknologi #AI #Malaysia
