Dunia kini berada dalam arus globalisasi dan ledakan teknologi moden yang berkembang pesat. Kehadiran teknologi baharu bukan sahaja telah mengubah cara hidup manusia, malah turut mencorak persepsi dan cara berfikir masyarakat untuk kekal seiring dengan kemajuan semasa teknologi.
Dalam konteks ketenteraan, perubahan teknologi ini terus mencetuskan revolusi pemikiran terhadap konsep pertahanan negara. Sepanjang sejarah peperangan, daripada penggunaan mesin, kereta kebal, peluru berpandu, dan satelit pengintipan, setiap inovasi ini telah memaksa sesebuah negara menilai semula struktur dan doktrin ketenteraan mereka.
#SorotanKandungan
Antara kecekapan dan daya ketahanan fizikal anggota tentera, teknologi kecerdasan buatan (AI) juga menawarkan potensi besar dalam memperkukuhkan pertahanan negara dari sebarang ancaman dengan secara lebih efisien dan tanpa risiko terhadap nyawa manusia. Ini menjadikan teknologi sebagai satu keperluan yang berdaya membantu dengan lebih pantas dan strategik, bergantung kepada kawalan manusia terhadap penggunaan AI.
Tambahan pula, dunia kini menyaksikan kemunculan satu lagi anjakan besar iaitu kecerdasan buatan (AI) yang mula menyusup masuk ke dalam setiap lapisan perancangan dan pelaksanaan operasi ketenteraan moden. Kemasukan teknologi ini membawa kesan menyeluruh, baik terhadap perubahan doktrin, corak pemikiran strategik, mahupun keseimbangan kuasa global.
Namun, persoalan utamanya bukan sekadar pada keupayaan teknikal atau kelebihan taktikal. Ia menyentuh satu aspek falsafah yang lebih mendalam: “Adakah AI sedang menggantikan kepintaran manusia dalam membuat keputusan perang, atau sekadar menjadi alat yang mempercepatkan konflik dan memperluas sempadan medan pertempuran?”
Strategi Global: Dari Pangkalan ke Data (^kembali)
Jika sebelum ini, kekuatan tentera diukur melalui jumlah jet pejuang, kapal induk dan senjata nuklear, tetapi kini ia beralih kepada dominasi maklumat dan keupayaan mengurus data. Negara yang mampu membangunkan sistem AI dan mengekstrak makna daripada data berpotensi mengatasi musuh tanpa keperluan konfrontasi fizikal.
Sebagai contoh, AI boleh melaksanakan analisis prediktif atau ramalan untuk menjangka pergerakan musuh, mengesan kelemahan dalam rangkaian pertahanan, atau mencetuskan serangan psikologi melalui manipulasi maklumat.
Strategi seperti ini tidak kelihatan secara langsung di medan tempur, namun kesannya cukup besar dan boleh meruntuhkan kestabilan sesebuah negara dari dalam dan senyap tanpa disedari oleh musuh.
Dalam konteks ini, AI bukan menggantikan strategi manusia, tetapi membentuk semula definisi strategi itu sendiri. Dalam erti kata lain, tumpuan bukan lagi semata-mata kepada pertempuran konvensional, tetapi meluas kepada ruang siber, domain pemikiran dan medan digital. Ini adalah wajah baharu peperangan pada era masa kini.
Masa Depan Strategik: Adakah Keupayaan Manusia Masih Diperlukan? (^kembali)

Kesiagaan anggota pertahanan terhadap sistem persenjataan kekal menjadi keutamaan sebagai persediaan mampu memberi keupayaan dalam penggunaan senjata secara manual, selain pengendalian sistem teknologi AI. FOTO: TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA
Walaupun AI semakin canggih dan pantas, ia masih dibina berdasarkan corak data masa lalu. AI tidak mempunyai keupayaan intuitif, pertimbangan moral atau empati seperti manusia. Dalam konteks sebenar, elemen kemanusiaan tetap penting, nilai etika, konteks budaya dan pengaruh politik tidak boleh dianalisis secara mutlak oleh mesin.
AI melaksanakan perintah secara logik dan pantas, tetapi tidak memahami trauma, penderitaan awam, atau dilema moral yang melatari keputusan dalam medan perang. Oleh itu, manusia kekal sebagai elemen penting dalam pembuatan keputusan strategik dan bukan sekadar pengendali, tetapi juga penimbang tara moral dan penjaga nilai kemanusiaan.
Pakar strategi seperti Paul Scharre menyifatkan era ini sebagai “algorithmic warfare”, di mana kejayaan bukan lagi bergantung pada senjata semata-mata, tetapi kepada keupayaan mengendali sistem kompleks yang mampu belajar dan menyesuaikan diri dalam medan perang moden.
Di sinilah muncul gagasan “human-machine teaming” mungkin menjadi norma baharu, di mana satu simbiosis antara manusia dan mesin, di mana AI bertindak sebagai pemecut kecekapan, manakala manusia kekal memegang tampuk kepimpinan dan kawalan akhir.
Kecerdasan Buatan atau Kecerdasan Dipercepat? (^kembali)

Ketangkasan sistem AI dalam melancarkan sesuatu operasi bergantung kepada bagaimana ia dimanfaatkan dan dikawal oleh seseorang secara beretika dan berkemahiran. FOTO: GAMBAR HIASAN
Satu lagi dimensi penting dalam perbahasan AI dan peperangan ialah persoalan tentang kebergantungan kepada sistem automasi. Banyak sistem ketenteraan moden hari ini masih mengaplikasikan pendekatan human-in-the-loop, iaitu di mana manusia membuat keputusan akhir selepas AI memberikan cadangan.
Namun, trend semasa menunjukkan peralihan kepada human-on-the-loop, di mana manusia hanya memantau dan membenarkan sistem bertindak secara automatik. Dalam situasi ini, kelajuan adalah kelebihan utama. AI mampu menganalisis, membuat keputusan, dan bertindak dalam masa yang lebih cepat.
Tetapi, kelajuan ini juga datang dengan risiko besar. Ia mempercepatkan tempo konflik, dan mengurangkan ruang untuk diplomasi dan rundingan serta meningkatkan kemungkinan salah anggap atau konflik yang tercetus secara tidak sengaja.
Selain itu, lebih membimbangkan AI juga berpotensi membawa kepada fenomena “automation bias”, iaitu kecenderungan mempercayai keputusan sistem dianggap lebih tepat daripada penilaian manusia, walaupun sistem tersebut mungkin tidak memahami konteks strategik sepenuhnya. Ini membuka persoalan etika yang kritikal: “Sejauh mana kita sanggup menyerahkan keputusan hidup dan mati kepada logik algoritma?”
Mengubah Perang, Mengubah Pemikiran (^kembali)
Integrasi AI dalam ketenteraan bukan sekadar perubahan teknologi, tetapi satu revolusi pemikiran. Ia mencabar segala definisi konvensional tentang strategi, sistem dan peranan manusia dalam peperangan.
Ia juga menimbulkan persoalan geopolitik baharu, iaitu jurang antara negara maju dan negara membangun dalam keupayaan teknologi pertahanan semakin melebar. Persaingan untuk menguasai AI mungkin menjadi bentuk perlumbaan senjata abad ke-21.
Justeru, soalan paling mendalam yang perlu ditanya bukanlah sama ada AI akan menggantikan manusia, tetapi “adakah kita bersedia membentuk dan mengawal teknologi ini secara beretika?” Dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, cabaran sebenar bukan pada kecanggihan sistem, tetapi pada kebijaksanaan manusia dalam menentukannya. -airtimes.my
#Airtimes #Teknologi #AI #Pertahanan #Malaysia
