KUALA LUMPUR, 6 FEB – Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim secara rasmi memulakan tugas sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) yang baharu bagi menggantikan Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Zainal Abidin TUDM.
Menerusi kenyataan media Markas Angkatan Bersama, majlis serah terima tugas tersebut telah berlangsung di Wisma Pertahanan dengan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Dato’ Malek Razak Sulaiman.
Tengku Muhammad Fauzi kini memimpin Markas Angkatan Bersama yang bertanggungjawab menyelaraskan operasi serta eksesais melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat domestik dan antarabangsa.
Manakala, Zahani yang sebelum ini merupakan PAB ke-15, akan memulakan tugas baharu sebagai Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS).
Kedua-dua pelantikan tersebut adalah berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 18 Januari 2026.
Dilahirkan di Kuala Terengganu, Tengku Muhammad Fauzi mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang selama hampir empat dekad termasuk pernah memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Beliau turut memiliki pengalaman luas dalam misi pengaman antarabangsa di bawah NATO di Bosnia Herzegovina serta pernah menjadi jurulatih di Royal Military College (RMC) Duntroon, Australia.
Selain itu, warga Pemerintahan Angkatan Bersama turut menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh Zahani sepanjang tempoh kepimpinan beliau sebelum ini.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah barisan Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan ATM. – airtimes.my




