KUALA LUMPUR, 28 Jan – Menteri Pertahanan hari ini menyifatkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sekadar isu penyelewengan pentadbiran, sebaliknya merupakan satu bentuk pengkhianatan besar terhadap sumpah setia perwira serta ancaman langsung kepada keselamatan negara.
Kenyataan keras itu dibuat susulan pendakwaan mahkamah ke atas bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Panglima Tentera Darat, serta kemungkinan beberapa lagi pertuduhan lain yang melibatkan individu tertinggi ATM. Menteri menegaskan bahawa perbuatan tidak bermoral tersebut sangat bercanggah dengan nilai dan budaya sebenar kementerian.
Dalam sesi penerangan khas di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa integriti yang tergelincir boleh melumpuhkan sistem pertahanan negara. Beliau memberi amaran bahawa jika anggota tentera boleh dibeli oleh pihak luar, negara berisiko tewas dalam peperangan sebelum pertempuran bermula.
“Rasuah dan apa sahaja bentuk kompromi terhadap integriti adalah ancaman terhadap keselamatan negara. Negara ini akan hancur dan lumpuh jika musuh ATM adalah orang dalaman,
“ATM tahu bagaimana menghadapi serangan ketenteraan, mereka memang diajar untuk berperang dan berjuang,
“Tetapi jika orang yang kita amanahkan untuk berjuang itu boleh dibeli, dirasuah, dan dimiliki oleh golongan pemodal yang rakus, kita akan pasti tewas sebelum bertempur,” tegas beliau semasa sesi penerangan tersebut.
Menurut Menteri, kesan daripada rasuah ini amat dahsyat kerana ia membawa kepada pembelian aset pertahanan yang tidak bermutu, perolehan yang beratus kali ganda lebih mahal, serta kekurangan dana akibat ketirisan.
Situasi ini bukan sahaja melemahkan sistem pertahanan nasional tetapi turut mengancam nyawa prajurit yang bertugas.
Kementerian Pertahanan juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana individu, tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Menteri menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang terlibat, dari pangkat tertinggi hingga ke bawah, akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.
“Segala perbuatan keji dan tidak bermoral tersebut bukan sahaja bercanggah dengan wibawa yang sesungguhnya suci kepada ATM, tetapi ia juga adalah pengkhianatan yang besar terhadap sumpah setia untuk membela ibu pertiwi dengan seluruh jiwa dan raga,” ujar beliau lagi.
Sebagai langkah pembersihan, Kementerian Pertahanan telah membuka pintu sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan bebas dan telus. Bagi kes jenayah, ia diserahkan kepada sistem keadilan negara, manakala salah laku moral dan disiplin seperti budaya hedonisme akan diadili oleh Mahkamah Angkatan Tentera. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #ATM #Parlimen #Malaysia

