KUALA LUMPUR, 24 FEB – Kerajaan terus memperkukuh kompetensi anggota Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) melalui penyertaan terpilih dalam eksesais bilateral dan multilateral bersama rakan pertahanan strategik termasuk negara Five Eyes.
Langkah ini selaras dengan strategi utama dalam Kertas Putih Pertahanan Negara bagi memastikan aspek profesionalisme perisikan pertahanan berada pada tahap tertinggi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penglibatan MDIO dalam eksesais ini memberikan penekanan khusus kepada perkongsian kepakaran dan peningkatan keupayaan analisis perisikan.
“Pihak MDIO pada masa ini hanya menyertai eksesais yang dianjurkan di peringkat Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antaranya merangkumi Eksesais Cobra Gold, Eksesais Bersama Warrior, Eksesais Bersama Lima serta Indo-Pacific Intelligence Chiefs Conference Tabletop Exercise,
“Pendekatan ini bertujuan memperkukuh kompetensi anggota tanpa menjejaskan kedaulatan, kerahsiaan, dan kepentingan keselamatan negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah) mengenai kerjasama MDIO bersama negara Five Eyes yang terdiri daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Kanada, dan Australia.
Mengulas persoalan tambahan mengenai dasar berkecuali negara, kementerian menegaskan bahawa kerjasama pertahanan sentiasa dijalankan secara seimbang dengan kuasa besar lain termasuk China dan Rusia.
Selain itu, aset pertahanan negara yang banyak menggunakan teknologi dari negara maju menuntut anggota MDIO untuk sentiasa mendapat pendedahan kepada teknologi semasa, terutamanya perisian isyarat (signal) dan analisis data raya (big data).
“Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali sentiasa bekerjasama melalui eksesais bilateral mahupun multilateral. Kita memanfaatkannya bukan sahaja dari segi kepakaran anggota, malah penggunaan teknologi bagi memperkasakan aset MDIO,” jelas beliau. – airtimes.my




