PUTRAJAYA, 17 JULAI – Malaysia akan memulakan misi penting membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast dari Amerika Syarikat (AS) apabila seramai 46 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijadual berlepas ke Baltimore esok.
Misi bersejarah itu menandakan satu lagi pencapaian strategik buat Maritim Malaysia dalam memperkukuh keupayaan aset maritim negara, khususnya bagi meningkatkan pengawasan di perairan Laut China Selatan yang semakin mencabar.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan, misi ini bukan sekadar pelayaran pemindahan aset, sebaliknya simbol pengiktirafan terhadap profesionalisme agensi itu di peringkat antarabangsa.
“Misi ini sebagai lipatan sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada Agensi, tetapi buat Malaysia keseluruhannya. Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia,
“Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” tegas beliau dalam sesi amanat khas bersama kru misi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. FOTO: MARITIM MALAYSIA
Kapal EX-USCG Cutter Steadfast yang berukuran 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar itu bakal menjadi aset baharu Maritim Malaysia dan dijangka tiba di tanah air pada pertengahan November 2025.
Mengulas lanjut, untuk memastikan pelayaran pulang berjalan lancar, 4 anggota Maritim Malaysia telah dihantar lebih awal ke Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan menjalankan pemeriksaan teknikal ke atas kapal terbabit.
Dalam pada itu, Mohd Rosli turut menyambut baik penegasan Menteri Dalam Negeri semasa Perhimpunan Bulanan KDN yang menekankan pentingnya kompetensi dan amanah dalam kalangan penjawat awam.
“Perkara tersebut perlu ada kepada setiap Penguatkuasa Maritim Malaysia, ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran, aset Agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya. Manakala jika amanah tidak dijadikan teras utama, maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim sekaligus membahayakan kepada negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dan sokongan terhadap proses penerimaan kapal daripada US Coast Guard.
“Tanpa sokongan padu Kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” ujarnya lagi.

46 anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat esok. FOTO: MARITIM MALAYSIA
Kapal berkenaan mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knot dan akan menyertai barisan aset sedia ada bagi memperkukuh kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menangani pelbagai bentuk ancaman di lautan negara. -airtimes.my
#Airtimes #MaritimMalaysia #EXUSCGCutterSteadfast #MisiBaltimore #keselamatan #Berita
















