Ketika dunia sedang mengalami perubahan landskap keselamatan secara mendadak, Malaysia kini berada pada satu persimpangan penting dalam menentukan hala tuju pertahanannya. Sasaran Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 bukan sekadar unjuran angka yang terpampang di dalam pelan strategik.
Sebaliknya, ia mencerminkan hasrat yang lebih mendalam untuk mengimbangi ancaman keselamatan, menjamin kedaulatan, dan memberi ruang kepada Malaysia untuk berdiri sama tinggi dalam kalangan negara-negara yang berkongsi kepentingan di rantau ini. Hasrat ini menandakan satu anjakan dasar daripada purata konservatif sekitar 1.0 hingga 1.1 peratus KDNK sejak sedekad lalu.
#SorotanKandungan
Sasaran untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan Malaysia kepada 1.5 peratus KDNK menjelang 2030 bukan sekadar matlamat fiskal, ujian kepada komitmen negara dalam mempertahankan kedaulatan. Hasrat ini menandakan satu anjakan dasar daripada purata konservatif sekitar 1.0 hingga 1.1 peratus KDNK sejak sedekad lalu. Artikel ini membedah cabaran utama ke arah sasaran itu dari kekangan bajet dan aset usang, kepada krisis kepercayaan dalam perolehan serta dominasi kontrak luar. Ia turut memaparkan peringatan titah Agong tentang integriti ATM dan keperluan pembaharuan dasar secara menyeluruh. Pertahanan bukan lagi boleh dipandang sebagai pilihan. Sebaliknya ia adalah keperluan yang tidak boleh dikompromi.
Meskipun bukan perkara baharu, ia muncul semula ketika isu ketelusan dan kecekapan dalam perolehan ketenteraan kembali menjadi perhatian, terutamanya selepas titah tegas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus bebas daripada pengaruh politik dan rasuah. Tegas baginda, tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.
Namun, persoalan besar yang wajar diteliti adalah sejauh mana sasaran ini mampu direalisasikan, apatah lagi dalam suasana fiskal yang ketat, kebergantungan yang berterusan terhadap import ketenteraan, serta tekanan daripada sektor pembangunan sosial dan ekonomi yang bersaing untuk mendapatkan keutamaan dalam bajet negara.
Bajet ATM: Gaji rendah, aset usang. Di mana silapnya? ^kembali
Mengulas lanjut, melihat kepada realiti semasa, angka-angka tidak begitu memberangsangkan. Pada tahun 2023, perbelanjaan pertahanan Malaysia dianggarkan bernilai RM17.7 bilion, bersamaan sekitar 0.98 peratus KDNK. Menurut laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), angka ini kekal dalam julat rendah untuk negara pesisir yang terdedah kepada pelbagai risiko serantau.
Lebih membimbangkan, lebih 60 peratus bajet digunakan untuk perkhidmatan dan kos emolumen (gaji, elaun, bonus dan caruman berkanun), manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan bagi pemodenan aset dan pelaburan strategik jangka panjang.
Di Dewan Rakyat, mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini mendedahkan, sebahagian besar aset ATM telah melebihi jangka hayat penggunaannya. Dakwaan terbabit turut diakui Menteri Pertahanan semasa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menegaskan ATM memiliki 171 aset yang berusia lebih daripada 30 tahun dan sudah berkhidmat sebelum tahun 1994 lagi.
Tegasnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) memiliki sebanyak 108 unit aset yang berusia lebih dari tiga dekad, manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), masing-masing mempunyai 29 serta 34 unit aset. Realiti ini memperlihatkan keperluan mendesak untuk pembaharuan perolehan dan penstrukturan semula keutamaan pertahanan.

Sebahagian daripada kenderaan tempur berperisai yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia untuk pelbagai operasi ketenteraan. FOTO AIRTIMES
Lebih memburukkan keadaan, insiden kontroversi melibatkan kelewatan projek Littoral Combat Ship (LCS) masih menghantui kepercayaan dan persepsi awam terhadap proses perolehan pertahanan terutama sistem pengurusan serta tadbir urus pertahanan.
Dalam persekitaran sebegini, titah Agong yang menegaskan keperluan menghapuskan campur tangan politik dan memastikan ketelusan dalam perolehan seharusnya menyentak kesedaran nasional tentang kepentingan integriti dalam pemerkasaan ketenteraan.
Malaysia kini tidak lagi boleh berlindung di sebalik undang-undang antarabangsa semata-mata. Kehadiran kapal pengawal pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali adalah satu isyarat jelas bahawa tuntutan kuasa besar bukan lagi bersifat diplomatik semata, tetapi telah berubah menjadi realiti operasi di lapangan.
Namun begitu, jalan ke arah mencapai sasaran tersebut bukan mudah. Dalam konteks ini, mencapai sasaran 1.5 peratus KDNK menuntut bukan sahaja lonjakan bajet, tetapi juga pembaharuan dasar menyeluruh. Kekangan fiskal yang kronik termasuk pembayaran hutang negara, subsidi, pendidikan dan pembangunan luar bandar akan terus menjadi pesaing utama dalam agihan sumber negara. Tanpa struktur dasar yang mapan, hasrat tersebut mungkin kekal sebagai dasar atas kertas semata-mata.
Menyahut cabaran 2030: Malaysia perlu pertimbang dasar baharu? ^kembali
Dalam pada itu, kebolehan industri pertahanan tempatan untuk menyerap manfaat daripada kenaikan bajet adalah antara halangan utama. Selama ini, kontrak utama masih banyak berpihak kepada pembekal luar negara. Tanpa pemindahan teknologi yang bersungguh-sungguh dan pelaburan dalam pembangunan sumber manusia, peningkatan bajet tidak akan menghasilkan nilai tambah dalam bentuk keupayaan tempatan yang mampan.
Namun demikian, model seperti Korea Selatan yang menggubal undang-undang khas untuk menjamin perbelanjaan minimum pertahanan tanpa bergantung kepada silih berganti kepimpinan politik wajar dipertimbangkan dalam dasar baharu.
Manakala, pendekatan Minimum Essential Force (MEF) yang diguna oleh Indonesia sejak 2010 juga boleh dijadikan inspirasi. Jakarta berjaya melaksanakan pembelian aset secara berperingkat sambil menggalakkan pemerkasaan industri pertahanan tempatan melalui kerjasama pemindahan teknologi.

Kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4×4) pertama negara, “TARANTULA” buatan syarikat tempatan sah menjadi aset baharu ATM, selepas berjaya melepasi pelbagai ujian dan terbukti memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan . FOTO ZULHAIZI/AIRTIMES
Hakikatnya, Malaysia tidak kekurangan bakat atau kemampuan asas. Syarikat tempatan misalnya seperti DEFTECH, MILDEF, STRIDE dan SME Ordnance telah menunjukkan potensi dalam penghasilan kenderaan tempur, sistem senjata ringan dan teknologi tanpa pemandu. Namun, tanpa insentif berstruktur dan jaminan sokongan kerajaan, mereka kekal sebagai pemain kecil dalam ekosistem pertahanan negara.
Jika diperkukuhkan dengan dasar yang telus dan berlandaskan merit, sektor ini bukan sahaja boleh mengurangkan kebergantungan kepada import, malah mengurangkan kos logistik dan risiko kebocoran maklumat strategik apabila berlaku konflik diplomatik. Lebih penting, ia membentuk daya tahan nasional dalam jangka panjang.
Tambahan pula, seperti yang ditekankan dalam titah Agong, ATM memerlukan sistem perolehan yang bebas daripada sebarang pelaburan yang berat sebelah dan menguntungkan pihak tertentu. Prinsip amanah dan kebertanggungjawaban harus diterapkan secara menyeluruh, dari pucuk pimpinan sehingga ke peringkat pelaksana.
Bersediakah Malaysia ambil keputusan tanpa jalan undur? ^kembali
Sekiranya Malaysia komited, saranan 1.5 peratus untuk KDNK, meskipun sukar namun ia tidak mustahil dicapai menjelang 2030. Malah, penganalisis dari pertubuhan antarabangsa seperti SIPRI dan International Institute for Strategic Studies (IISS) telah berulang kali mengingatkan bahawa rantau Asia Tenggara sedang menjadi salah satu kawasan paling cepat berkembang dari segi perbelanjaan ketenteraan.
Ini tidak mengejutkan apabila kita melihat bagaimana China, India, dan Filipina mula memperkemas struktur pertahanan mereka bukan sahaja untuk tujuan dalaman, tetapi juga sebagai tindak balas terhadap kuasa luar yang aktif membentuk sempadan laut dan darat secara unilateral.
Sementara itu, masyarakat awam juga harus diberikan pendedahan dan kefahaman yang lebih menyeluruh tentang pentingnya pertahanan dalam konteks negara membangun seperti Malaysia. Tanpa pemahaman awam tentang kepentingan perbelanjaan pertahanan, kerajaan akan terus berdepan cabaran politik dalam memperjuangkan bajet yang lebih besar.
Justeru, komunikasi strategik kerajaan harus dipertingkat, termasuk melalui pendidikan dan media, bagi menanam kesedaran bahawa pertahanan bukan perbelanjaan yang membazir sebaliknya pelaburan strategik masa depan.
Akhirnya, persoalan sama ada Malaysia mampu mencapai sasaran 1.5 peratus KDNK untuk pertahanan menjelang 2030 bergantung kepada kesediaan kita mengambil keputusan yang tegas hari ini. Ia bukan semata-mata tentang memperuntukkan lebih banyak wang, tetapi tentang meletakkan keselamatan sebagai pelaburan strategik negara, seiring dengan pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial.
Jika kita benar-benar percaya bahawa kedaulatan adalah sesuatu yang tidak boleh dirunding, maka sasaran itu bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang tidak boleh dikompromi. -airtimes.my
#diskusi #airtimes #pertahanan #bajet #ATM