SEOUL, 11 JUN – Sebuah jet pejuang KF-16 milik Korea Selatan mengalami kerosakan ketika menjalani latihan udara multinasional Red Flag yang diketuai Amerika Syarikat di Alaska, menurut kenyataan Tentera Udara Korea Selatan.
Menurut Tentera Udara, kejadian kecemasan itu berlaku semasa pesawat sedang berlepas dari Pangkalan Udara Eielson, pada jam 9:02 pagi, hari ini.
Bagaimanapun, kedua-dua juruterbang berjaya menyelamatkan diri dan disahkan selamat setelah mengaktifkan kerusi pelontar dan keluar dari pesawat jenis dua tempat duduk itu.
“Kedua-dua juruterbang berada dalam keadaan selamat dan sedang dipindahkan ke hospital berdekatan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Tentera Udara akan membuat siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian itu dengan kerjasama rapat pihak Amerika Syarikat.
Terdahulu, Korea Selatan telah menghantar jet pejuang ke latihan ini sejak 2013, dan bagi tahun ini telah menggerakkan 11 pesawat, termasuk jet pejuang KF-16 serta pesawat pengangkut KC-330 dan seramai 100 anggota udara.
Latihan Red Flag-Alaska yang dimulakan pada 1975 ini, bertujuan menyediakan latihan realistik dalam persekitaran pertempuran simulasi, menurut tentera AS. – airtimes.my
#Airtimes #KF-16 #LatihanUdara #AS #Alaska #KoreaSelatan



