KUALA LUMPUR, 31 MEI – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara perkhidmatan awam hari ini, berhimpun secara aman menuntut penyelesaian segera terhadap isu pelarasan pencen yang didakwa telah berlarutan sekian lama.
Wakil Gabungan Veteran ATM dan Pesara Awam, Leftenan Komander Rafique Ali Ahmad Nordin (Bersara), menegaskan himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini bertujuan menyuarakan suara hati puluhan ribu pesara yang belum menerima pelarasan pencen secara menyeluruh.
Susulan, mendapati ribuan pesara lain masih menunggu dalam ketidakpastian mengenai pelarasan pencen, dan hanya sebahagian golongan pesara menerima bayaran tunggakan penuh.
“Kami tidak minta lebih, kami hanya minta apa yang telah dijanjikan dan apa yang sepatutnya menjadi hak kami,” katanya.
Beliau berkata demikian, perkara ini jelas menunjukkan ketidaksamaan layanan dalam bayaran tunggakan pencen dan menegaskan tuntutan bukan soal perbezaan antara pesara tentera atau awam.
“Kenapa ada dua layanan berbeza untuk pesara di negara ini? Bukankah semua pesara adalah rakyat yang telah menyumbang tenaga dan masa kepada kerajaan?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau turut mendesak, keadilan perlu diberikan kepada semua yang pernah berkhidmat dan sekiranya ada golongan pesara menerima bayaran penuh, seharusnya semua pesara juga berhak menerima perkara yang sama.
“Kami bukan menolak hak bebas hakim, tetapi kami menuntut keadilan yang sama rata.” tegasnya,
Sehubungan itu, tiga tuntutan utama dikemukakan kepada kerajaan iaitu pelarasan segera pembayaran pencen, rundingan terbuka dengan kerajaan, serta jaminan pelaksanaan dasar pencen yang telus dan adil pada masa hadapan.
Lt kdr Rafique menambah, para pesara telah berkhidmat dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan keselamatan, seharusnya diberikan pelarasan pencen mengikut lunas undang-undang serta keputusan mahkamah.
“Kami menyeru pihak kerajaan untuk mendengar suara kami dan mengambil tindakan segera demi keadilan sosial dan maruah pesara negara.” ujarnya. – airtimes.my
#Airtimes #VeteranATM #pesaraawam #ATM #Malaysia