PUTRAJAYA, 30 Mei – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan bahawa pusat-pusat sindiket penipuan masih aktif beroperasi di kawasan sempadan Myawaddy, Myanmar.
Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Unit MHO, Azirulsyafiq Sazali bersama seorang aktivis, Andrew, yang melakukan pemantauan lapangan di lokasi terbabit.
“Kami telah memuat naik beberapa video pendedahan mengenai aktiviti scam yang masih berjalan di sana. Ini bukan isu baharu dan ia jelas menggugat keselamatan serantau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sebuah syarikat disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan, dikenali sebagai Wan Yin dan beroperasi di Dara Sakor, telah dikenal pasti sebagai salah satu pusat yang paling kebal dan sukar ditembusi.
“Syarikat ini sangat licik. Baru-baru ini, seorang mangsa yang berjaya melepaskan diri mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Malaysia yang masih terperangkap dalam bangunan itu,” ujarnya semasa satu perhimpunan diadakan di luar Wisma Putra, semalam.
Menurut Azirulsyafiq, mangsa yang mendedahkan maklumat itu telah diseksa dengan kejam, dipukul menggunakan kerusi, tali pinggang serta objek lain sehingga mengalami kecederaan serius di muka, tangan dan kaki.
Sehubungan itu, beliau menggesa campur tangan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penasihat peribadinya yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
“Thaksin merupakan antara tokoh terawal yang menyuarakan kebimbangan terhadap kegiatan sindiket ini. Pengalaman dan pengaruh beliau di Thailand amat penting bagi membantu menangani isu di sempadan Myawaddy yang kini memberi kesan kepada reputasi serta keselamatan negara jiran itu,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara MHO dengan Kementerian Dalam Negeri Kemboja (MOI) serta pertubuhan antarabangsa seperti Global Anti-Scam Organization (GASO) telah berjaya menyelamatkan lebih 200 mangsa setakat ini di Kemboja.
“Saya merayu agar Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dapat bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih ditahan di premis terbabit,” katanya lagi.
Beliau berharap isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh Malaysia masih memegang jawatan Pengerusi ASEAN, dengan memberi keutamaan kepada misi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang masih menjadi mangsa.– airtimes.my
