NEW YORK,1 MAC – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres memberi amaran keras bahawa rantau Timur Tengah kini berdepan ancaman keselamatan antarabangsa yang paling kritikal.
Amaran ini dikeluarkan susulan siri serangan ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Republik Islam Iran.
Terdahulu, serangan gabungan AS dan Israel telah mengegarkan Tehran serta beberapa lokasi strategik Iran. Serangan yang diberikan kod nama Operation Epic Fury oleh AS dan Roaring Lion (Israel) telah dibalas oleh Iran melalui Operation True Promise 4.
Dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB yang diadakan pada Sabtu, Guterres menegaskan bahawa tindakan semberono semua pihak yang terlibat bakal mengheret dunia ke kancah peperangan yang tidak dapat dibendung.
Beliau secara terbuka mengecam serangan awal AS dan Israel, di samping mengutuk tindakan balas Iran yang didakwa mencabuli kedaulatan negara jiran termasuk Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Guterres mengingatkan semua negara anggota mengenai Artikel 2 Piagam PBB yang menetapkan dengan jelas bahawa setiap ahli wajib mengelakkan diri daripada sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara.
“Tindakan ketenteraan membawa risiko mencetuskan rantaian peristiwa yang tidak dapat dikawal oleh sesiapa pun di rantau yang paling tidak stabil di dunia,” tegas Guterres di hadapan delegasi antarabangsa di Majlis Keselamatan.
Menurut beliau, operasi ketenteraan bersama AS dan Israel telah menyasarkan kira-kira 20 buah bandar utama di seluruh Iran. Bandar strategik seperti Tehran, Isfahan, Qom, Shahriar dan Tabriz dilaporkan menerima bedilan serangan udara.
Di ibu negara Iran, Tehran, letupan besar dilaporkan berlaku di daerah yang menempatkan istana presiden serta kompaun kediaman rasmi Pemimpin Tertinggi Iran.
Lebih membimbangkan, serangan tersebut telah meragut puluhan nyawa orang awam.
Laporan media tempatan Iran mengesahkan sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh manakala ramai lagi tercedera apabila sebuah sekolah perempuan di Minab dalam Wilayah Hormozgan terkena bedilan udara. Sebuah lagi sekolah di Teheran turut menjadi sasaran yang mengakibatkan dua kematian.
Dalam pada itu, Guterres turut menyentuh laporan daripada sumber perisikan Israel yang mendakwa beberapa pegawai tinggi kerajaan Iran telah terbunuh, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei. Walau bagaimanapun, pihak PBB menegaskan bahawa mereka bukan berada kedudukan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan pembunuhan profil tinggi tersebut. Susulan serangan berskala besar itu, Iran telah menutup sepenuhnya ruang udara negara dan melaksanakan sekatan capaian internet hampir menyeluruh di seluruh negara.
Bagi pihak PBB, krisis terbaharu ini adalah satu tamparan hebat kepada usaha diplomasi yang sedang rancak dirintis. Operasi ketenteraan AS dan Israel ini dilancarkan sejurus selepas pusingan ketiga rundingan tidak langsung antara Washington dan Teheran yang dimediasi oleh Oman berjalan. Menurut dokumen perancangan, persiapan teknikal sebenarnya sudah diatur untuk pusingan rundingan lanjutan di Vienna pada minggu hadapan.
“Saya amat kesal kerana peluang diplomasi ini telah disia-siakan,” tambah Guterres dengan nada kecewa terhadap keruntuhan usaha damai tersebut.
Dalam tindak balas ketenteraan yang dilancarkan oleh Iran, negara itu mendakwa mereka hanya menyasarkan aset ketenteraan AS di rantau berkenaan. Namun begitu, peluru berpandu dan dron yang dilepaskan dilaporkan turut mengenai kawasan awam dan infrastruktur di beberapa negara Teluk yang dinyatakan.
Walaupun majoriti negara Teluk berjaya memintas ancaman udara tersebut, pihak UAE melaporkan seorang penduduk awam maut akibat terkena serpihan peluru berpandu yang dipintas di udara. Serpihan sisa bedilan turut dilaporkan jatuh di wilayah Lubnan dan Syria, manakala pertempuran udara melibatkan dron dan peluru berpandu terus memuncak di Iraq.
Selain krisis ruang udara, terdapat juga laporan awal yang menunjukkan Iran sedang bersedia untuk menutup perairan strategik Selat Hormuz kepada laluan perkapalan antarabangsa yang bakal melumpuhkan ekonomi global.
Bagi mengelakkan konflik ini bertukar menjadi krisis dunia yang tidak dapat dipulihkan, Guterres merayu agar semua pihak menurunkan ketegangan dan melaksanakan gencatan senjata serta-merta. Beliau mendesak negara yang terlibat untuk kembali ke meja rundingan tanpa syarat terutamanya dalam isu program nuklear Iran demi memastikan tahap keselamatan nuklear terjamin dan kestabilan serantau tidak terus musnah.
Kesemua ketua negara dilaporkan sedang giat berhubung di mana Presiden AS telah menghubungi pemimpin Arab Saudi, Qatar, dan UAE manakala Menteri Luar Iran berhubung terus dengan rakan sejawatannya di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Iraq bagi mencari jalan keluar. – airtimes.my





