Home Pertahanan dan KeselamatanTender semula aset strategik: Kementerian Kewangan rombak kerangka perolehan MINDEF

Tender semula aset strategik: Kementerian Kewangan rombak kerangka perolehan MINDEF

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 26 FEB – Segala proses perolehan aset strategik pertahanan negara yang telah dilaksanakan secara tender terbuka sebelum ini wajib dinilai dan diiklankan semula.

Arahan drastik tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi merombak sistem perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara menyeluruh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan perkara tersebut di Dewan Negara, hari ini.

Menurut beliau, pembekuan perolehan aset pertahanan yang asalnya dikuatkuasakan menerusi Arahan Pegawai Pengawal Bilangan 2 Tahun 2026 pada penghujung Januari lalu, telah ditamatkan secara rasmi pada 12 Februari.

Namun, kelulusan penyambungan semula proses perolehan tersebut tertakluk kepada pematuhan mutlak terhadap syarat baharu MOF yang memperkenalkan elemen semak dan imbang pihak ketiga ke dalam sistem MINDEF.

Perkembangan paling signifikan dalam rombakan prosedur operasi standard ini adalah kewajipan penyertaan rentas kementerian. Lembaga Perolehan di peringkat MINDEF kini diwajibkan untuk menerima keanggotaan seorang wakil rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri.

Langkah kawalan ketat ini turut dipanjangkan ke peringkat perkhidmatan. Jawatankuasa Sebut Harga Tentera Darat kelak mesti dianggotai oleh wakil daripada Tentera Laut Diraja Malaysia atau Tentera Udara Diraja Malaysia bagi mengelakkan sebarang keputusan pembelian dibuat secara bersendirian.

“Selain daripada itu, satu lagi keputusan kerajaan ialah supaya kementerian melaksanakan proses penilaian semula dan pengiklanan semula bagi perolehan secara tender terbuka yang telah dilaksanakan. Ini perlu dilakukan kepada perolehan untuk aset-aset strategik.

“Aset strategik merujuk kepada perolehan aset bernilai tinggi yang mempunyai kepentingan kritikal serta impak langsung terhadap kesiapsiagaan, keupayaan dan keberkesanan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam sistem pertahanan negara,” kata Menteri Pertahanan.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Edward Linggu Bukut di Dewan Negara. Edward meminta penjelasan mengenai tempoh pembekuan perolehan aset pertahanan, kategori perolehan yang terkesan, serta perincian mekanisme penambahbaikan bagi memastikan proses tersebut kekal telus.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa keanggotaan Lembaga Perolehan serta jawatankuasa berkaitan kini diperkemas dengan syarat kompetensi yang terperinci bagi memastikan hanya pegawai yang benar-benar mahir dilibatkan.

Malah, proses penilaian teknikal dan kewangan kini diperketatkan. Keanggotaan bagi Jawatankuasa Spesifikasi, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan telah dirombak komposisinya supaya ia tidak lagi dimonopoli oleh agensi pengguna sahaja.

Dari segi memuktamadkan perolehan, MOF turut menetapkan kuasa kelulusan baharu.

Sebarang perolehan sebut harga bernilai RM300,000 hingga RM500,000 untuk bekalan dan perkhidmatan, serta RM300,000 hingga RM3 juta bagi kerja penyelenggaraan, wajib diputuskan di peringkat Lembaga Perolehan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MINDEF.

Bagi perolehan yang melibatkan produk keluaran pengilang luar negara, kaedah tender terbuka antarabangsa mesti dilaksanakan dengan penyertaan dikhususkan secara langsung kepada pengilang antarabangsa berkenaan.

Bagi mengelakkan operasi harian tentera terjejas akibat prosedur baharu ini, kerajaan memberikan pengecualian kepada perolehan aset tidak strategik. Proses pembelian perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan tanpa senjata api, barangan am pejabat dan pembekalan rangsum makanan boleh diteruskan tanpa perlu dinilai atau diiklankan semula.

Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa resolusi pantas yang dicapai antara MINDEF dan MOF dalam tempoh tiga minggu pembekuan tersebut berjaya memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara langsung tidak terjejas. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply